Bagi melengkapkan hari Raya Aidiladha yang bakal tiba, Tajria hari ini ingin berkongsi hidangan yang boleh anda sediakan untuk diri sendiri ataupun keluarga kecil yang dinamakan Nasi Mentega Bersama Daging Bakar.


Berikut adalah senarai bahan yang diperlukan bersama cara penyediaan untuk setiap hidangan.

Bahan-Bahan Daging Bakar

  • 2 ketul daging (saiz stik sekitar 150-200g)
  • 3 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1-2 cm halia (dicincang atau dikisar)
  • kicap pekat dan kicap manis
  • sos tiram
  • lada hitam
  • garam
  • minyak

Bahan-Bahan Nasi Mentega

  • 3 cawan beras, 4 cawan air
  • bawang putih (dikisar)
  • bawang merah (dikisar)
  • 1 biji buah pelaga
  • 1/2 batang kayu manis
  • 1 biji bunga lawang
  • mentega
  • garam

Bahan-Bahan Salad Tomato Dan Timun

  • 1-2 biji tomato (dipotong dadu)
  • 1/2 batang timun (dipotong dadu)
  • 1/2 biji bawang merah besar (dipotong dadu)
  • 3-4 tangkai cili api (dihiris)
  • Daun ketumbar
  • lada hitam
  • garam
  • air asam jawa

Cara Penyediaan

  1. Untuk nasi, anda perlu tumiskan bunga lawang, buah pelaga dan kayu manis sehingga naik bau.
  2. Kemudian, masukkan bawang putih dan bawang merah bersama mentega. Letakkan sekitar 3 hingga 4 potong mentega mengikut citarasa anda. Masak sehingga bawang kelihatan sedikit garing.
  3. Setelah selesai tumis, masukkan beras dan gaulkan hingga sekata.
  4. Sewaktu menanak nasi, masukkan air kira-kira 4 cawan dan biarkan ia masak.
  5. Untuk daging, campurkan kesemua bahan dan perapkannya selama 15 hingga 20 minit. Masukkan juga sedikit minyak ke dalam perapan. Kemudian bungkus daging menggunakan pembalut aluminium.
  6. Di samping perap daging, pada suhu sekitar 180 hingga 200 darjah Celsius, panaskan ketuhar selama 5 minit. 
  7. Apabila ketuhar telah panas, bakar ayam sekitar 5 hingga 10 minit. Selepas itu, anda boleh buka bungkusan alumnium dan bakar lagi sekitar 10 minit untuk mendapatkan daging yang lebih kering dan garing pada bahagian luar.
  8. Akhir sekali untuk salad tomato, potong kesemua bahan-bahan yang diperlukan dan gaulkan sekata. Masukkan garam secukupnya dan juga air asam jawa pekat sebagai penambah rasa. Anda juga boleh meletakkan lada hitam dan juga daun ketumbar.