Tidak dinafikan pengambilan gula dalam piramid makanan harian haruslah dipantau dan dikawal bagi mengurangkan risiko kepada kesihatan.

Secara amnya, pengambilan gula kristal boleh dilihat dan dikawal dengan lebih mudah kerana ia boleh disukat dan dikurangkan mengikut pilihan dan citarasa individu.


Apa yang membimbangkan adalah pengambilan gula yang tersembunyi di dalam makanan yang sudahpun tersedia siap. Untuk pengetahuan anda, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa, dan susu dalam bentuk laktosa.

Oleh sebab itu, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda 5 produk makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi tanpa anda sedari.

Yogurt rendah lemak

Seperti yang ramai maklum, yogurt kerap dikatakan antara jenis makanan yang berkhasiat dan sangat sesuai diambil bagi anda yang ingin mengamalkan diet sihat.

Namun, tidak untuk yogurt rendah lemak. Hal ini kerana, pengeluar akan menambah gula untuk meningkatkan rasa. Sebagai contoh, satu cawan dengan berat sekitar 245g yogurt rendah lemak boleh mengandungi lebih dari 45 gram gula, iaitu sekitar 11 sudu teh.

Tidak seperti yogurt lemak penuh atau Greek Yogurt, ia mempunyai kandungan gula yang sedikit atau hampir tiada yang mana lebih baik berbanding yogurt rendah lemak.


Granola

Granola sering dipasarkan sebagai makanan kesihatan rendah lemak, walaupun tinggi kalori dan gula. Bahan utama dalam granola adalah gandum. Namun, ia telah diproses dan digabungkan dengan bahan lain termasuk kacang dan madu atau pemanis tambahan lain.

Dengan penambahan ini, ia telahpun menjadikan Granola mengandungi gula yang tersembunyi dan mampu meningkatkan jumlah gula dan kalori dalam diet harian.

Untuk 100g granola, ia mengandungi sekitar hampir 5 hingga 7 sudu teh gula. Bukankah itu satu kadar kuantiti yang banyak?

Sos Tomato Dan Sos Pasta

Sos pasta berasaskan tomato mempunyai faedah kesihatan tertentu tetapi tidak untuk produk yang dibeli di kedai.

Rata-rata sos tomato yang dikeluarkan pengilang akan ditambahkan kadar gula yang tinggi bagi mengelakkan sos terasa berasid. Kebiasaannya, kandungan gula dalam sos tomato ini boleh mengandungi lebih dari 13g gula iaitu kira-kira tiga sudu teh gula.

Oleh itu, untuk memastikan anda tidak mengambil gula secara berlebihan, periksa label dan pilih sos dengan sedikit gula tambahan. 


Roti

Kebiasaannya untuk penghidap kencing manis, doktor sering menyarankan un tuk mengelakkan pengambilan roti. Hal ini kerana, kandungan gula dalam potongan roti yang diproses rata-rata berbeza tetapi boleh setinggi 3g.

Sebilangan gula terbentuk secara semula jadi dalam proses penaik tetapi ia juga sering ditambah.

Susu coklat

Susu coklat adalah susu yang telah dicampur dengan koko dan dipermaniskan dengan gula.

Susu itu sendiri adalah minuman yang sangat berkhasiat. Ia adalah sumber nutrien yang baik untuk kesihatan tulang, termasuk kalsium dan protein.

Namun, walaupun mempunyai semua kualiti susu yang berkhasiat, segelas susu coklat dengan kuantiti sekitar 230 ml, ia juga hadir dengan tambahan 3 sudu teh gula tambahan

Sumber: MyHealth Hello Doktor Fab Flour BBC News Healthline