Ikan Empurau terkenal sebagai ikan termahal dalam pasaran Malaysia. Hal ini kerana, ikan ini sangat sukar untuk dijumpai dalam ekosistem liar yang biasa.
Secara umumnya, ikan Empurau adalah spesies ikan kelah. Spesies ini boleh ditemui di Chao Phraya Thailand dan Sungai Mekong di beberapa negara yang lain.
Untuk pengetahuan anda, ikan Empurau yang didapati di kawasan Borneo Malaysia adalah lebih unik. Mengapa? Ia adalah disebabkan diet pemakanan ikan Empurau yang sanagt berbeza.

Seperti yang anda sedia maklum, ikan Empurau tinggal di perairan sungai air tawar. Di kawasan tempat tinggal ikan Empurau ini, terdapat satu jenis pokok buah yang tumbuh di sekitar sungai yang dikenali sebagai Buah Kabang. Apabila buah ini masak, ia akan jatuh ke kawasan sungai dan menjadi makanan utama ikan Empurau.
Mengapa Ikan Empurau Sangat Berharga?
Seperti kebanyakan makanan berharga yang lain, ikan Empurau dikatakan mempunyai rasa yang unik. Ikan ini mempunyai tekstur isi yang kaya dengan rasa dan juga bersifat halus.
Berdasarkan dari ulasan individu yang pernah merasanya, rasa ikan empurau sering digambarkan dengan rasa berlemak, sedikit manis dan gurih. Ia mungkin disebabkan faktor pemakanan ikan ini yang lain dari ikan biasa, makanya kualiti rasanya juga adalah lebih tinggi.

Walaupun ia mempunyai rasa yang lazat, ikan ini tidak selalu dimakan. Kebiasaannya, ikan dalam spesies kelah mempunyai penampilan dan tekstur sisik yang berkilau. Jadinya, mereka lebih banyak dicari sebagai ikan hiasan.
Disebabkan itu juga, ikan Empurau dan ikan berharga lain yang berasal dari Sarawak kini menerima ancaman penangkapan yang tinggi dan tidak terkawal. Jika anda berjaya mengangkap satu ikan kelah dengan berat sekitar 1kg, harga jualannya boleh mencecah sehingga $500 (~RM2113). Namun, penawaran harga ini berbeza bergantung pada usia dan berat ikan.
Kini, Spesies Ikan Empurau Terancam
Disebabkan permintaan yang tinggi tetapi pertumbuhan ikan yang tumbuh perlahan, ikan Empurau ini dianggap salah satu kumpulan ikan yang terancam.
Malah, ikan Empurau juga dikatakan mula kehilangan habitat akibat kualiti air sungai yang teruk dan terjejas disebabkan aktiviti hutan seperti pembalakan berlebihan dan peningkatan tanaman ladang kelapa sawit yang semakin meluas di Borneo Malaysia.
Sumber: Heart Of Sheep TripSavvy