Carian
Adakah Makanan Mentah Lebih Baik Dari Makanan Yang Bergoreng?
July 23, 2021 Lina Rosli

Sudah tentu ramai yang mengetahui bahawa amalan pemakanan sihat amatlah penting dalam memastikan tubuh anda mendapat nutrien dan juga khasiat yang secukupnya.

Memasak seperti menumis, menggoreng dan memanggang makanan dapat meningkatkan rasanya, tetapi juga mengubah kandungan nutrisi. Hal ini kerana, sebilangan vitamin akan hilang semasa makanan dimasak.

Jadi, adakah ia menjadi sebab mengapa anda perlu bertukar kepada makanan mentah?

Untuk menjawab persoalan ini, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda kebaikan dan keburukan kedua-dua makanan mentah dan juga bergoreng kepada tubuh anda.


Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Makanan Mentah?

Makanan mentah adalah makanan yang belum dimasak atau diproses.

Terdapat pelbagai tahap diet makanan mentah yang mana ia biasanya melibatkan makanan yang tidak dipanaskan, tidak dimasak dan tidak diproses. Secara umum, diet makanan mentah terdiri daripada sekurang-kurangnya 70% makanan mentah.

Jadi, apakah contoh makanan mentah? Ia biasanya melibatkan makanan berasaskan biji-bijian, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran mentah.

Kebiasaannya, individu yang banyak mengambil makanan mentah dalam diet adalah daripada golongan vegan ataupun individu dengan diet berasaskan tumbuhan. Walau bagaimanapun, terdapat juga diet lain yang melibatkan makanan mentah seperti pengambilan produk tenusu mentah, ikan dan juga daging mentah.


Adakah makanan mentah berkhasiat?

Secara umumnya ya. Individu yang mengamalkan pengambilan makanan mentah dapat mengurangkan pengambilan kalori, mendapat kandungan serat yang tinggi selain boleh membawa kepada penurunan berat badan.

Selain itu juga, makanan mentah yang anda makan juga mengandungi enzim yang membantu pencernaan. Enzim sensitif terhadap haba dan dinyahaktifkan dengan mudah apabila terdedah kepada suhu tinggi iaitu sekitar 47 darjah Celsius. Jadi, jika anda memasak makanan, tiada enzim yang akan membantu mencerna dan badan akan memerlukan lebih banyak tenaga untuk memproses makanan yang diambil.

Namun, harus diingatkan bahawa diet yang hanya mengambil makanan mentah sahaja untuk hidangan harian sudah tentu tidak mendapat nutrien yang mencukupi dan akan memberi kesan untuk jangka masa panjang.

Malah, setakat ini tiada lagi bukti kajian yang mengatakan keburukan penggunaan tenaga yang berganda dalam badan sehingga memerlukan enzim lain untuk mencerna. Bukan itu sahaja, beberapa saintis berpendapat bahawa tujuan utama enzim makanan adalah untuk menyuburkan pertumbuhan tanaman dan bukan untuk membantu manusia mencerna mereka.

Kebaikan Mengambil Makanan Yang Telah Dimasak

Menurut Clevelandclinic, makanan yang telah dimasak adalah lebih baik daripada makanan mentah.

Tidak dinafikan, enzim dan beberapa nutrien lain dalam makanan akan musnah dalam proses memasak. Namun, ia sebenarnya mampu membunuh bakteria dan mikroorganisma berbahaya yang terkandung dalam makanan lebih-lebih lagi sumber protein seperti daging, ikan dan juga ayam. Hal ini kerana, jika anda makan makanan mentah terlalu kerap, ia berisiko mendapat penyakit bawaan makanan.

Walaupun terdapat beberapa nutrien yang hilang sewaktu proses memasak, namun masih ada lagi nutrien baik yang masih ada dalam makanan. Antaranya vitamin D, E dan K yang larut dalam lemak kebanyakannya tidak terjejas dengan memasak.


Apakah Teknik Memasak Yang Boleh Mengekalkan Nutrien Dalam Makanan?

Setakat ini juga, hanya proses merebus sahaja yang banyak mengakibatkan kehilangan nutrien pada kuantiti yang tinggi, sementara kaedah memasak yang lain masih lagi berkesan mengekalkan kandungan nutrien makanan.

Menurut kajian dari NIH, sebagai contoh, mengukus, memanggang dan menggoreng adalah beberapa kaedah terbaik untuk memasak sayur-sayuran untuk mengekalkan nutrien.

Dalam beberapa kes juga, memasak dapat meningkatkan ketersediaan nutrien asal dalam makanan. Contohnya, memasak atau memanggang tomato, asparagus dan labu akan memberi anda lebih banyak antioksidan daripada yang mentah.

Apa yang paling penting adalah jangka masa makanan itu dimasak. Semakin lama makanan dimasak, semakin besar kehilangan nutrien.

Sumber: clevelandclinic NCBI

Komen