Bagi anda yang meminati hidangan mi, mungkin menu Mi Kari Kerang adalah pilihan yang terbaik untuk anda sediakan dan nikmati bersama keluarga.
Serba sedikit mengenai Mi Kari, ia mula dicipta dan dinikmati oleh penduduk di Asia tenggara. Mi Kari ini boleh didapati di negara seperti Malaysia , Singapura dan Indonesia. Sudah tentu untuk setiap jenis Mi Kari ini mempunyai rasa yang berbeza yang mana bergantung kepada budaya dan citarasa individu.
Jika anda tidak pernah mencuba menu ini, Mi Kari adalah mi yang disediakan bersama kuah kari bersantan yang pedas dan dilengkapi dengan aksesori tambahan seperti tauhu goreng, sayur sawi dan taugeh yang dicelur sebentar, telur rebus dan juga pelengkap hidangan iaitu kerang, daging lembu, ayam atau udang basah.

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan Mi Kari. Saiz hidangan untuk bahan di bawah adalah untuk 4 hingga 5 orang makan.
Bahan A
- 1 paket mi kuning
- 100-150g kerang
- 1 keping dada ayam
- 1 ikat sawi hijau
- 3 keping tauhu basah
- taugeh
- 4-5 biji telur rebus
- lada hijau
- bawang goreng
- daun bawang
- daun sup
Bahan B
Bahan untuk kuah yang perlu dikisar bersama:
- 1 1/2 biji bawang merah besar
- 3-4 ulas bawang putih
- 15g ikan bilis (1 genggam)
- 5g udang kering (2 sudu besar)
- 1 inci halia
- 1 batang serai
- 10 tangkai lada kering (direndam dengan air panas terlebih dahulu)
Bahan C
- 1/2 kotak santan
- 3/4 paket serbuk kari
- 1 batang kayu manis
- 2 biji buah pelaga
- 1 biji bunga lawang
- 2 tangkai daun kari
Cara Penyediaan
- Kisar kesemua bahan B sehingga halus.
- Di dalam sebuah periuk, panaskan minyak dan tumis kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang.
- Masukkan bahan B yang telah dikisar dan biarkan ia masak sehingga naik bau.
- Selepas itu, masukkan serbuk kari dan tumiskannya sehingga kelihatan minyak pada bahan tumisan anda.
- Kemudian, anda boleh masukkan kerang dan juga ayam ke dalam kuah kari anda.
- Apabila telah masak, masukkan sedikit santan dan gaul sekata. Biarkan dan kacau rata sekitar 3 hingga 5 minit.
- Setelah itu, baru tambahkan sedikit air untuk mencairkan kuah. Tambah sekitar 1 hingga 2 mangkuk air bergantung kepada hasil kuah yang anda gemari.
- Masukkan garam secukup rasa.
- Sambil menunggu kuah anda mendidih, anda boleh gorengkan tauhu tanpa perlu memotongnya. Anda juga boleh celurkan sayur sawi dan juga taugeh dengan air panas agar ia kelihatan sedikit layu.
- Sediakan hiasan tauhu, taugeh, sawi, telur rebus dan juga lada potong di dalam bekas yang berasingan.
- Basuh mi dan celurkannya juga ke dalam air panas sebentar.
- Setelah kuah mendidih, hidangkan kuah kari tersebut bersama mi dan juga lengkapkan pinggan anda dengan hiasan yang telah disediakan pada langkah 10 di atas.
Jika anda menggemari udang atau daging. Anda juga boleh menukar bahan kerang dan ayam kepadanya. Anda juga boleh menambah limau kasturi untuk rasa yang lebih masam. Selamat mencuba!