Sebentar tadi telah berlangsungnya acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020. Ia merupakan acara yang ke-32 sejak pertama kali dilaksanakan pada tahun 1896.

Apa yang menarik perhatian Tajria pada acara pembukaan tersebut adalah persalinan yang digayakan oleh para atlet Malaysia sewaktu perbarisan yang mana ia merupakan hasil idea dan rekaan dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam.

Ia menampilkan persalinan pakaian yang diinspirasikan oleh warisan dan lagenda terulung Malaysia iaitu Laksamana Hang Tuah.


Untuk persalinan pakaian lelaki, antara elemen utama yang ditampilkan adalah adalah penggayaan baju luar yang kelihatan seakan blazer tanpa butang. Kemudian, ia dipadankan dengan samping dan juga tanjak bagi mengekalkan aura dan identiti kebangsaan Malaysia.

Sementara untuk wanita pula, sama seakan persalinan lelaki, ia turut membawakan baju luar yang lebih panjang tetapi ia dipadankan dengan set baju kurung bersama dokoh emas pada bahagian dada.

Dari segi pemilihan warna pula, ia memilih warna merah dan putih sebagai warna utama selain turut dilengkapkan dengan warna biru dan kuning pada corak samping lelaki dan kain kurung wanita.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan oleh Kontinjen Malaysia, penampilan warna yang dipadankan pada set persalinan sewaktu perbarisan ini merupakan adaptasi daripada warna yang tertera pada bendera kebangsaan Malaysia, iaitu Jalur Gemilang.

Bergerak kepada rekaan corak, ia memperlihatkan corak geometri berasaskan segi tiga chevron. Pemilihan ini dilakukan atas dasar menunjukkan akan semangat dan misi para atlet yang jelas dalam mencapai pingat yang terbaik untuk negara.

Menarik bukan? Dengan berakhirnya acara pembukaan sebentar tadi, maka Sukan Olimpik Tokyo 2020 kini telah rasmi bermula.

Mari kita sama-sama terus menyokong dan memberi semangat kepada para atlet Malaysia untuk setiap acara yang Malaysia sertai!