Carian
Tahukah Anda Terdapat 3 Jenis Gangguan Pendengaran Yang Mungkin Dialami Individu?
July 26, 2021 Lina Rosli

Gangguan pendengaran kebiasaannya berlaku apabila terdapat masalah atau kerosakan pada satu atau lebih bahagian telinga.

Untuk kes yang teruk, ia boleh mengakibatkan kehilangan pendengaran yang konduktif disebabkan oleh masalah pada telinga luar atau tengah termasuk saluran telinga, gendang telinga atau ossikel.

Menurut laman MyHealth, gangguan pendengaran ini boleh dialami oleh setiap peringkat umur termasuk bayi, remaja, orang dewasa dan juga warga tua. Oleh itu, ia adalah penting untuk anda mengetahui dan mengenali gangguan telinga dengan lebih mendalam supaya dapat mengambil langkah awal jika anda mengalaminya.


3 Jenis Gangguan Pendengaran

Secara umumnya, terdapat dua kategori gangguan pendengaran sama ada ia bersifat sementara yang mana ia boleh dirawat, ataupun bersifat kekal yang mana ia tidak boleh dirawat walaupun selepas melakukan pembedahan.

Di bawah kategori ini, ia akan dibahagikan kepada tiga jenis masalah pendengaran iaitu:

  • Konduktif – Gangguan ini biasanya berlaku akibat jangkitan atau penyakit yang melibatkan dua bahagian telinga iaitu telinga luar dan telinga tengah. 
  • Sensorineural – Untuk jenis ini pula, ia melibatkan patologi pada saraf auditori pendengaran manusia.
  • Campuran –  Ia adalah gabungan patologi yang melibatkan saraf auditori dan dua bahagian telinga iaitu telinga luar dan telinga tengah.

Manakah Yang Boleh Dirawat Atau Sebaliknya?

Berikut adalah klasifikasi gangguan pendengaran yang boleh dirawat dan juga gangguan yang bersifat kekal.

Gangguan Pendengaran : Konduktif

Jenis konduktif ini juga biasanya bersifat sementara dan boleh dirawat sama ada dengan pengambilan ubat atau pembedahan. Tempoh rawatan untuk kembali pulih seperti biasa adalah bergantung kepada tahap kritikal sesuatu jangkitan.

Contoh masalah pada telinga luar adalah melibatkan:

  • Anotia, tiada cuping telinga
  • Microtia, cuping telinga kecil
  • Atresia, ketiadaan salur telinga
  • Tahi telinga tersumbat
  • Otitis external, jangkitan kuman atau bakteria pada bahagian telinga luar

Contoh masalah pada telinga dalam adalah melibatkan:

  • Gegendang telinga pecah
  • Otitis media, jangkitan pada telinga tengah
  • Ossicular discontinuity, tulang telinga tercabut
Gangguan Pendengaran : Sensorineural

Masalah yang melibatkan saraf auditori pendengaran pula ialah bersifat kekal dan pendengaran tidak dapat kembali kepada asal. Cara dan rawatan yang boleh anda dapatkan untuk gangguan ini adalah dengan menggunakan alat bantu pendengaran.

Gangguan Pendengaran : Campuran

Apabila terdapat masalah pendengaran serentak iaitu masalah pendengaran konduktif dan sensorineural, ia akan melibatkan hampir kebanyakan bahagian telinga. Oleh itu, rawatan mungkin merupakan gabungan rawatan perubatan atau pembedahan, implan dan penggunaan alat bantu pendengaran.

Berikut adalah beberapa informasi mengenai jenis gangguan pendengaran yang mungkin dialami kebanyakan individu. Antara yang penting termasuk penjagaan dan rutin berkala bagi memastikan keselamatan telinga anda.

Komen