Lina Rosli Diterbitkan 27 July 2021

Perbezaan Teh Uncang Dan Teh Lerai – Mana Lebih Sedap?

Tahukah anda, minuman berasaskan teh mempunyai manfaat yang baik untuk kesihatan? Ia termasuk mengandungi agen antioksidan yang akan melindungi anda dari radikal bebas selain membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan degeneratif seperti serangan jantung.

Malah, ada juga kajian mengatakan bahawa teh berkebolehan dalam menurunkan kadar kolesterol.

Namun, adakah terdapat perbezaan antara teh yang telah dipaketkan dan juga teh yang dihidangkan tanpa paket dan memerlukan anda menyukat sendiri?


Perbezaan Antara Teh Uncang Dan Teh Lerai

Perbezaan utama untuk teh lerai adalah daun tehnya adalah lebih kering dan bersaiz besar. Jika dibandingkan dengan teh uncang, teh lerai juga dikatakan menggunakan keseluruhan daun teh kering. Sementara teh uncang pula menggunakan serpihan teh atau habuk teh yang telah rapuh dan pecah dari daun asal.

Oleh sebab terdapat perbezaan dari segi struktur teh pada hasil akhir, teh dalam uncang biasanya mempunyai rasa yang lebih ringan berbanding teh lerai.

Sebagai contoh, semasa anda membuat secawan teh menggunakan teh lerai, dauh teh yang diletakkan di dalam air panas akan beredar melalui air mendidih dan mula mengembang. Pengembangan ini bermaksud terdapat peningkatan dari segi rasa dan warna selepas diekstrak.


Manakala, untuk teh uncang pula, walaupun ia masih mempunyai sejumlah pergerakan di dalam cawan, namun ia masih mempunyai had yang mana tidak dapat mengembang dengan baik.

Bukan itu sahaja, teh lerai biasanya mempunyai rasa yang lebih pahit kerana ia akan mengeluarkan lebih banyak tanin daripada daun. Oleh sebab itu, bagai anda yang ingin menikmati rasa kompleks dalam teh, maka teh lerai adalah pilihan yang lebih baik.

Bercerita mengenai  teh uncang pula, ia biasanya dihasilkan secara industri dalam jumlah besar. Jadi, sudah tentu ia akan disimpan dan dibungkus selama beberapa pula yang mana akan menjadi tidak segar sewaktu dihidangkan kepada tetamu.

Kelebihan Teh Uncang Berbanding Teh Lerai

Walaupun, teh lerai mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan dari segi rasa, tekstur dan juga kualiti, kelebihan utama teh uncang adalah ia lebih mudah dan konvinien untuk diuruskan.

Teh uncang tidak menimbulkan kekotoran sewaktu pengendalian, selain untuk peminum teh amatur, anda tidak perlu menyukat jumlah daun teh yang diperlukan untuk satu teko air.


Akhir sekali, teh uncang juga sangat sesuai untuk penyediaan teh ais. Oleh sebab serbuknya tidak beredar di dalam cawan, maka teh uncang lebih banyak digunakan dalam hidangan berais.

Jadinya, tidak ada baik atau buruk dalam pemilihan kedua jenis teh ini. Ia bergantung kepada citarasa anda selain keperluan anda sewaktu ingin mendapatkan minuman yang anda ingini.