Sebelum ini, Nescafe telahpun mengeluarkan pelbagai jenis perisa kopi segera yang berasaskan citarasa tempatan seperti Nescafe Kopitiam yang menampilkan perasa Kopi Tarik, Kopi-C, Kopi Cham, Teh Tarik dan pelbagai lagi.
Malah , Nescafe juga ada membawakan Nescafe edisi negeri termasuk Kopi Kedah, Kopi Kelantan dan pelbagai yang lain.
Terbaru, Nescafe kembali dengan perisa terbaru untuk minuman tin mereka iaitu Nescafe Gula Melaka. Ia merupakan menu yang ditawarkan eksklusif di rangkaian 7 Eleven di seluruh Malaysia.

Apa yang menarik pada menu Nescafe Gula Melaka ini, ia berkemungkinan besar menukar penggunaan gula biasa di dalam kandungan kopi ini kepada gula melaka. Jadinya, anda mungkin boleh menikmati rasa yang lebih unik iaitu manis yang tidak keterlaluan, sedikit berkrim dan mempunyai aroma seperti dipanggang.
Untuk pengetahuan anda juga, gula melaka adalah antara bahan pemanis dan penambah rasa makanan yang unik dan hanya boleh di dapati di Malaysia. Ia berasal daripada nira pohon kelapa yang diproses sehingga menjadi coklat keperangan dan mempunyai tekstur yang agak keras. Oleh itu, ia mungkin sukar untuk didapati di tempat-tempat lain di dunia.
Bagi yang berminat untuk mencuba Nescafe Gula Melaka ini, anda boleh mula mendapatkannya hari ini di rangkaian 7 Eleven berdekatan anda pada harga RM2.80 satu tin.