Carian
Kerap Keliru Sewaktu Pesan Makanan Korea? Ini 7 Hidangan Yang Perlu Anda Tahu
July 29, 2021 Lina Rosli

Kadangkala apabila melihat menu di GrabFood dan FoodPanda, ia tidak menunjukkan gambar yang betul dan jelas untuk anda membuat perhitungan. Malah, ia sering mencetuskan kekeliruan lebih-lebih lagi untuk menu yang tidak begitu biasa anda makan.

Sebagai contoh sajian makanan Korea. Dengan penyenaraian nama yang hampir sama, pastinya ia akan membuatkan anda keliru dan tidak tahu makan mana yang perlu anda pesan.

Oleh itu, bagi mengelakkan masalah ini berlaku lagi, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda, 7 hidangan Korea yang utama dan popular yang perlu anda ketahui sewaktu membuat pesanan.

Jajangmyeon (짜장면)

Ada sesetengah menu akan menulisnya sebagai Black-bean noodle. Hidangan ini pada asalnya merupakan hidangan Cina yang telah diadaptasi dan diubahsuai mengikut citarasa orang Korea.

Ia merupakan mi yang tebal yang disediakan bersama kuah kacang hitam. Kuah ini mempunyai tekstur yang likat kerana ia diperbuat daripada tepung gandum, kacang soya dan sos karamel. 

Kebiasaannya, hidangan ini akan disediakan sekali bersama timun, daun bawang, bawang mentah yang dihiris, hiasan telur rebus, udang yang dihiris dan juga danmuji iaitu acar lobak berwarna kuning.


Kimchi Jjigae (김치 찌개)

Jjigae atau stew ini sering disediakan bersama nasi ataupun mi. Ia biasanya akan menggunakan hidangan utama seperti daging (bulgogi), tahu lembut (soondubu), kimchi, tuna dan juga ayam.

Secara umumnya, ia adalah sejenis sup yang ditumis dalam minyak dengan beberapa sayur-sayuran lain. Ia akan dihidangkan panas dan rasanya ada sedikit masam dan pedas kerana kuahnya dicampur dengan kimchi dan sedikit pes lada (gochujang).


Tteokbokki (떡볶이)

Bahan utamanya adalah kek beras dikukus dan dihiris (teok). Ia dimasak dengan kek ikan (oden) dan daun bawang bersama sos manis dan pedas yang disediakan dari pes cili.

Ia biasanya dijadikan sebagai snek petang dan malam yang banyak dijual di tepi jalan. Malah ia juga merupakan makanan jalanan yang popular di Korea.


Bibimbap (비빔밥)

Hidangan ini merupakan set makan tengahari yang disediakan di dalam bekal atau bekas makanan mencampurkan sayur, nasi, daging lembu dan telur bersama-sama dengan minyak bijan dan sesendok pes cili sebagai penambah rasa.

Bibimbap juga dikategorikan sebagai makanan sihat kerana ia menawarkan keseimbangan ketiga-tiga makronutrien yang diterjemahkan kepada pelbagai kalori yang sesuai.


Haemul Pajeon (해물파전)

Ia merupakan penkek Korea yang enak disajikan sebagai pelengkap diet harian. Di dalamnya boleh diletakkan sama ada kerang, sotong dan makanan laut lain. Ada juga pajeon klasik yang hanya diletakkan daun bawang dan telur sahaja.


Japchae (잡채)

Seterusnya hidangan sampingan yang menggunakan mi gelas atau mi jernih. Ia kelihatan seperti mihun ataupun suhun yang biasanya akan dimasak bersama daging dan pelbagai sayur-sayuran lain.

Untuk menyediakannya, anda perlu menumisnya di dalam kicap. Kemudian, letakkan cendawan, lobak, bayam, bawang putih dan daun bawang.


Chuncheon Dakgalbi (춘천 닭갈비)

Biasanya menu akan menulisnya sebagai spicy stir-fried chicken. Ia adalah hidangan kegemaran pelajar kerana ia ditawarkan pada harga yang murah selain saiz hidangan yang juga besar dan banyak.

Di dalam hidangan ini, potongan ayam akan diasinkan dalam sos pes cili dan rempah lain. Selepas itu, ia akan ditumis dalam kuali besar bersama sama dengan ramyeon, kek beras, kubis, lobak dan hirisan ubi jalar.


Berikut adalah beberapa hidangan popular yang perlu anda ketahui jika ingin memesan makanan Korea. Selain itu juga, ada satu lagi menu atau hidangan manisan yang perlu anda ketahui iaitu Bingsu.

Bingsu ini seakan dengan ais kepal ABC yang mana ia menampilkan serpihan ais dan ditambah dengan pelbagai jenis bahan seperti susu pekat manis, sirap buah, pelbagai buah seperti strawberi, buah kiwi, dan pisang pada bahagian atasnya.

Komen