Sambutan Olimpik Tokyo 2020 nampaknya semakin memuncak setelah para atlet Malaysia meraih keputusan yang memberangsangkan pada beberapa acara yang disertai.
Dengan persiapan latihan dan persediaan yang mencukupi, tidak mustahil untuk para atlet negara meraih kejayaan dan pulangan yang lumayan dalam acara mereka masing-masing.
Untuk tidak ketinggalan dalam merasai kehangatan penangan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda beberapa fakta menarik mengenai acara di dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, iaitu aktiviti dengan kemampuan pembakaran kalori paling banyak.

Acara Dengan Kemampuan Pembakaran Kalori Tertinggi
Untuk pengetahuan anda, kadar kalori yang dibakar oleh atlet mencerminkan intensiti dan jangka masa untuk sesuatu acara.
Acara Renang
Secara amnya, atlet dengan kadar pembakaran kalori paling banyak adalah dalam kalangan perenang. Ia disebabkan oleh faktor intensiti dan juga jam latihan yang diambil secara keseluruhan. Seorang perenang boleh membakar kalori sekitar 5,182 kalori semasa latihan sahaja.
Disebabkan berenang adalah aktviti berimpak rendah, jumlah latihan perenang juga adalah lebih panjang berbanding acara lain. Tempoh latihan yang diambil selalunya sekitar enam jam dengan gaya renang lurus.

Acara Maraton Larian
Apabila bercakap mengenai maraton, sudah tentu ia adalah sebuah acara yang akan berlangsung untuk tempoh yang panjang atau lama.
Untuk pengetahuan anda, atlet acara ini boleh membakar kira-kira 20.6 kalori per minit. Jadi untuk jangka masa larian sekitar satu jam, kadar kalori yang dibakar adalah berjumlah 2,596 kalori.
Semasa berlari, kalori yang dibakar adalah sedikit lebih banyak daripada berenang. Hal ini kerana, ia adalah aktiviti kardio berimpak tinggi yang mana badan anda akan membakar kalori dengan cepat untuk meningkatkan prestasi anda.

Acara Berbasikal
Selain itu, acara berbasikal semasa triathlon Olimpik juga antara aktiviti dengan kadar pembakar kalori paling banyak.
Menerusi jarak berbasikal sejauh 25 batu dalam tempoh masa 1 jam 22 minit, seorang atlet boleh membakar antara 12 dan 18 kalori seminit, atau 982 hingga 1,476 kalori untuk keseluruhan acara berbasikal.
Acara Short Burst
Kebiasaanya acara short burst ini merujuk kepada aktiviti yang dilakukan sangat cepat dan tajam. Antara contoh sukan short burst adalah seperti lari pecut, bola sepak dan lompat galah.
Berdasarkan satu kajian, aktiviti sukan ini membakar sekitar 200 kalori tambahan sehari. Para atlet biasanya akan menyelangi aktiviti HIIT selama 30 saat dengan rehat 1 minit. Dengan tempoh masa ini, ia menjadikan pembakaran kalori yang berterusan dalam kalangan atlet.

Apakah Acara Sukan Olimpik Yang Membakar Kalori Paling Sedikit?
Sukan seperti memanah dan menembak adalah salah satu aktiviti dengan kadar pembakaran kalori paling rendah. Namun, ia memerlukan kemahiran teknikal dan fokus mental yang sangat besar.
Walaupun ia tidak memerlukan latihan kardio yang tinggi, namun para atlet masih lagi memerlukan daya tahan otot yang kuat untuk menarik dan menahan alat panah dan peluru supaya kekal stabil dan badan berada dalam posisi yang betul dan selesa.
Sumber: Insider