Carian
Tips Mengelakkan Kucing Anda Dari Mencakar Dan Menggaruk Karpet
July 30, 2021 Lina Rosli

Mencakar atau menggaruk adalah tingkah laku semula jadi untuk kebanyakan kucing.

Jadinya, ia amat penting untuk anda menyediakan tempat untuk memudahkan mereka mencakar. Jika tidak, kucing anda mungkin akan mencakar barang-barang di dalam rumah anda seperti pelapis perabot, sofa, katil, tirai atau karpet anda. 

Untuk pengetahuan anda, apabila kucing mencakar barang-barang anda, ia sebenarnya tidak memberikan kepuasan seperti berada di luar dan hanya sekadar memenuhi keinginan sahaja.

Mengapa Kucing Mencakar?

Antara sebab mengapa kucing anda mencakar adalah bertujuan untuk mengekspresikan emosi mereka seperti menunjukkan kegembiraan atau tekanan.

Malah, mencakar juga merupakan bentuk komunikasi yang terhasil menerusi kelenjar bau dan peluh di kaki bercampur dan menghasilkan bau yang unik. Apabila cakar dikikis ke permukaan, ia meninggalkan bekas, aroma dan sekam cakar.

Oleh itu, apabila kucing lain melihat dan menghidu bau di perabot tersebut, mereka seperti menerima mesej supaya tidak berada di situ.

Sebab ketiga mengapa kucing mencakar juga adalah bagi membuang bahagian kuku yang mati dan telah rosak. Akhir sekali, aktiviti mencakar juga adalah salah satu senaman dan regangan yang memberikan keselesaan pada kucing setelah bangun tidur, makan dan sebagainya.

Cara Menghentikan Kucing Dari Mencakar Dan Menggaruk

Langkah pertama untuk mencegah kerosakan dan calar akibat cakar kucing adalah mengarahkan kucing anda untuk mencakar sama ada pada blok kayu yang anda sediakan khusus untuk mereka atau and juga boleh membeli tiang cakar yang banyak dijual di pasaran.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya kucing anda enggan menggunakan tiang cakar yang dibeli dan masih memilih untuk merosakkan karpet anda?

Penyelesaian terbaik adalah dengan menyediakan permukaan yang seakan perabot anda. Hal ini kerana, kucing mempunyai corak dan pilihan mencakar yang tersendiri. Mereka yang mencakar karpet mungkin lebih cenderung untuk melakukannya secara mendatar berbanding menegak.

Bagi menentukannya, anda perlu bereksperimen untuk mencari tempat cakar yang disukai oleh kucing anda. Sebagai perlindungan tambahan, tutup tempat awal yang telah dicakar supaya mereka tidak mencakar di situ kembali.

Jika di sofa atau perabot, anda mungkin perlu memindahkan perabot ke kawasan yang lebih jauh dari tempat cakar mereka.

Komen