Aktiviti pembersihan, jika dilakukan dengan betul sudah tentu dapat memberi manfaat dan latihan tambahan yang dapat membantu menghilangkan tekanan.

Berlari naik dan turun tangga, membawa barang dari bilik ke bilik dan membersihkan sinki, tingkap dan lantai akan membantu anda membakar kalori dan juga melepaskan hormon endorfin.

Bukan itu sahaja, ia juga memberikan kesan yang positif kepada minda anda kerana apabila berada di dalam ruang yang bersih dan tenang, semestinya anda boleh melakukan pelbagai perkara dengan lebih santai dan menjadikan diri anda lebih produktif.


Berdasarkan kajian UCLA Magazine Education, ia mendapati bahawa ruang yang semak dan kawasan yang kotor akan memberi kesan pada emosi diri. Ia juga meningkatkan tahap kortisol yang merupakan hormon stres utama pada wanita.

Psikologi Di Sebalik Pembersihan

Sama seperti kita berasa tertekan dengan melihat pemandangan sama ada di tengah jalan yang sesak, di kawasan yang orang ramai jalan berpusu-pusu atau lain-lain situasi yang banyak hal yang terjadi secara visual, kita juga akan berasa tidak selesa dan tertekan apabila berada di dalam satu ruang yang berselerak dan mempunyai banyak barang.

Oleh itu, jika anda melihat ruang rumah atau pejabat anda mempunyai terlalu banyak barang, mungkin sudah tiba masanya untuk membungkus dan menyusun barang yang tidak diperlukan di tempat lain.


Selain itu, terdapat satu kajian kecil yang diterbitkan dalam jurnal Mindfulness mendapati bahawa individu yang terlibat dalam mencuci pinggan dengan masa yang lama lebih cenderung untuk menyedut aroma sabun dan membiarkan kulit mereka menyerap kehangatan air lebih lama. Kesannya, ia menunjukkan penurunan 27% kegelisahan dan tekanan selain mampu bmeningkatkan 25% dalam “inspirasi mental.”

Untuk pengetahuan anda, meletakkan tubuh dan anggota badan di dalam air suam dapat mengurangkan rembesan kortisol serta hormon lain yang berkaitan dengan tekanan. Ini menjadikan otot yang lebih relaks selain memberikan ketenangan dalam fikiran.


Bagaimana Untuk Menjadikan Aktiviti Mengemas Sebagai Satu Tabiat Yang Positif?

Buat senarai perkara yang perlu dilakukan dan berikan jangka masa kepada diri sendiri. Pastikan anda melakukan aktiviti sama ada mencuci, menyapu, mengemas dan membersih dengan penuh fokus.

Tetapkan masa selama 15 minit sehari atau melakukan satu tugas seminggu sehingga selesai. Hal ini kerana, jika anda memberikan komitment penuh pada tugasan anda, ia akan memberikan kepuasan kepada anda setelah dapat melihat hasilnya. Dan seterusnya boleh menikmati hari anda dengan lebih bermakna.

Sumber: Goodhousekeeping