Untuk pengetahuan anda, tidak semua buah beri mempunyai saiz yang kecil dan hadir dengan rasa yang manis. Anehnya sayur-sayuran dan buah-buah seperti terung, limau, pisang, tomato dan avocado secara botani dikelaskan sebagai buah beri. Manakala, strawberi yang popular bukanlah buah beri sama sekali.

Mengapa Strawberi Bukan Beri – Apa Itu Definisi Beri?

Secara umumnya, untuk menjadi buah beri, sejenis buah mesti mempunyai dua atau lebih biji di dalamnya.

Jika anda lihat, strawberi tidak mempunyai biji di dalamnya dan merupakan satu-satunya buah yang mempunyai biji di luar. Makanya, ia tidak boleh diklasifikasikan sebagai buah beri walaupun namanya hadir dengan perkataan beri.


Ahli botani menyebut strawberi sebagai “buah palsu” atau dikenali sebagai pseudocarp. Kumpulan buah ini biasanya tumbuh bukan daripada ovari pokok. Ia boleh jadi tumbuh di thalamus, ataupun tumbuh pada bahagian pokok yang disebut receptacle.

Thalamus ini boleh dijumpai berhampiran tangkai bunga. Ini adalah batang yang diubahsuai yang mempunyai simpul yang berbeza dan berfungsi dalam membekalkan nutrien kepada bunga. Sementara receptacle pula adalah paksi atau batang yang melekat pada organ bunga.


Berbeza dengan kumpulan beri, buah akan tumbuh pada bunga yang mempunyai satu ovari yang mengandungi biji di dalamnya untuk penyebaran benih.

Malah, buah beri juga mempunyai tiga lapisan isi buah yang berbeza iaitu exocarp (kulit luar), mesocarp (isi tengah) dan endocarp (bahagian paling dalam yang memegang biji).

Sebagai contoh, kulit luar anggur adalah exocarp, bahagian tengahnya yang berjus adalah mesocarp dan bahagian dalam seperti jeli memegang biji-bijian merupakan endokarp.

Tahukah Anda Satu Strawberi Mempunyai Purata Sekitar 200 Biji Benih?

Selain ia bukan dari kumpulan beri, ia juga mempunyai sekitar 200 biji pada bahagian luar kulit.

Mengapa strawberi mempunyai biji di luar, bukannya di bahagian dalam?

Setakat ini, penyelidik hanya mengatakan biji pada bahagian luar buah strawberi sebenarnya adalah buah yang masing-masing mengandungi satu biji. Buah kecil itu akan disenyawakan di dalam bunga membentuk buah-buahan kering dan kecil yang terpisah.


Strawberi yang ditanam adalah kacukan dari dua spesies induk yang berbeza. Oleh kerana mereka adalah kacukan, strawberi biasanya akan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran yang melampau.

Sehingga kini, kajian mengenai strawberi masih lagi sedang giat dijalankan bagi mengetahui evolusi dan perubahan pada keadaan buahnya.

Sumber: Carnegie Museums Live Science  News NSCU Edu