Untuk anda yang kerap keluar dan bergerak menggunakan kereta, sudah tentu anda akan menyediakan pelbagai kelengkapan sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan dan perkara yang akan berlaku sewaktu anda berada di luar.

Antara yang paling kerap anda letak di dalam kereta termasuklah pengecas telefon bimbit tambahan, botol air dan juga kaca mata hitam.

Namun, tahukah anda kesemua produk ini boleh mendatangkan kesan yang buruk jika ia dibiarkan lama di dalam kereta, lebih-lebih lagi jika kereta anda diletakkan di kawasan panas.

Di Malaysia, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 2018, lebih daripada 90% punca kebakaran adalah disebabkan  kelalaian atau kecuaian pemilik kenderaan dalam mematuhi aspek penyelenggaraan dan keselamatan kereta.

Dalam laporan itu juga menyatakan, 355 kes kebakarang kereta disebabkan mancis, 1596 kes disebabkan elektrik yang berkemungkinan besar akibat daripada masalah pendawaian selain 316 kes pula berpunca daripada objek dan permukaan yang panas.

Mengapa Tidak Boleh Meninggalkan Botol, Barang Elektronik Di Dalam Kereta?

Ketika cahaya matahari yang terang dan panas dipancarkan dan terkena botol berisi air, ia dapat meningkatkan keamatan cahaya matahari yang melaluinya sekaligus akan memicu permukaan yang mudah terbakar di dalam kereta anda. Sama ada di pelapis, kerusi kereta atau kertas serta bahan-bahan lain yang berada di kereta.

Melalui ujian yang dilakukan oleh Oklahoma’s Midwest City Fire Department, botol plastik yang berisi air akan bertindak sebagai kaca pembesar seakan cermin optik biasa. Apabila cahaya matahari terik terpancar terus pada botol plastik untuk satu tempoh yang lama boleh mengakibatkan kebakaran.

Sementara untuk barang elektronik pula, jika ia dibiarkan dalam keadaan panas untuk jangka masa yang lama, barangan ini boleh mengalami kerosakan jangka panjang yang serius atau akan rosak secara kekal.

Apakah Barang Lain Yang Tidak Boleh Ditinggalkan Di Dalam Kereta?

Berikut adalah barang dan peralatan yang perlu anda bawa keluar sewaktu meletakkan kenderaan di kawasan panas pada tempoh yang lama:

Cermin Mata

Pastinya hampir semua kereta mempunyai sepasang cermin mata yang anda gunakan khusus untuk memandu. Namun, tahukah anda tidak boleh menyimpannya di dalam kereta anda.

Hal ini kerana, pada hari-hari yang sangat terik, sinar matahari dapat menyebabkan plastik bingkai meleleh dan melengkung, merosakkan pemasangan secara kekal. Malah, ia juga boleh memantulkan sinar matahari dan mengkibatkan kebakaran pada kerusi kereta.

Makanan Dan Barang Dapur

Selain itu, meninggalkan makanan pada suhu yang tinggi dan tidak selamat boleh menyebakabkan penyakit bawaan makanan.

Untuk memastikan bahawa bahan makanan yang mudah rosak selamat untuk dimakan, kajian penyelidik mengesyorkan agar makanan anda tidak berada pada suhu di atas 32 darjah Celsius tidak lebih dari satu jam.

Lampu Suluh

Jika lampu suluh anda menggunakan bateri, maka anda harus mengelakkan daripada menyimpannya di dalam kereta anda.

Apabila terdedah kepada suhu tinggi seperti kereta yang terlalu panas, bateri boleh bocor dan kehilangan kuasa, sekaligus menyebabkan lampu suluh anda  tidak dapat digunakan.

Pemetik Api Dan Rokok Elektronik

Untuk pengetahuan anda, cecair mudah terbakar di dalam pemetik api adalah sangat sensitif dan mudah bocor dan menyebabkan ia keluar dari bekas apabila suhu di dalam kereta menjadi terlalu panas.

Dalam kebanyakan kes, rokok elektronik dan pemetik api adalah antara penyumbang kepada kebakaran dan letupan kereta di Malaysia.

Botol Atau Tin Semburan

Bagi anda yang gemar menyimpan tin semburan seperti penyembur rambut, deodoran, maka buang tabiat ini dengan segera.

Sekiranya dibiarkan dalam suhu yang melampau, tin ini boleh mengembang dan meletup dan isinya adalah sangat mudah terbakar.

Akhir sekali, setiap pemandu dan pemilik kereta seharusnya mempunyai tabiat pengurusan kereta yang baik. Disebabkan cuaca di Malaysia beriklim tropika dan sering mencapai suhu yang tinggi, maka kebarangkalian unyuk mengundang perkara di luar kawalan adalah sangat tinggi.