Untuk peminat kuaci, tahukah anda Ukraine dan Rusia adalah pengeluar biji bunga matahari terbesar di dunia?
Benih bunga ini perlu ditanam kawasan atau negara beriklim sejuk kerana bunga matahari biasanya mempunyai tempoh pertumbuhan yang pendek dan dalam keadaan yang sejuk juga, ia boleh mengurangkan risiko tumbuhan tersebut daripada dihinggapi serangga perosak dan penyakit.
Di Malaysia, penanaman bunga matahari tidak dilakukan secara besar-besaran disebabkan kawasan yang terhad dan keadaan tanah yang tidak begitu sesuai. Namun, ia banyak ditanam di kawasan persendirian sebagai tanaman hiasan.
Bunga matahari biasanya mekar dalam 70 hari selepas penanaman, tetapi biji matahari memerlukan tambahan satu bulan untuk betul-betul matang dan mekar sebelum dapat dituai. Secara amnya, apabila kepala berubah menjadi coklat di bahagian belakang, biji biasanya siap untuk dituai.
Bagaimana Kuaci Dihasilkan?
Menuai biji bunga matahari bergantung pada kaedah pengeringan pilihan pengeluar.
Sebilangan pengeluar akan memotong batangnya lebih awal, apabila bahagian belakang bunga matahari berwarna kuning dan mengeringkannya sepenuhnya di dalam kawasan teduh. Namun, ada juga keadaan yang mana pengeluar akan membiarkannya kering sepenuhnya di batang dan menuainya apabila bahagian belakangnya menjadi coklat.
Setelah selesai tuai, biji bunga matahari akan diasingkan mengikut saiz yang mana:
- Untuk saiz besar, ia akan diproses sebagai makanan ringan
- Sementara, biji bunga matahari bersaiz sederhana akan diproses menjadi bahan untuk masakan dalam salad, kek dan aiskrim
- Akhir sekali, saiz kecil akan dijual sebagai makanan untuk burung dan haiwan peliharaan
Untuk menghasilkan kuaci, biji bunga matahari kemudiannya akan dipanggang pada suhu sekitar 165 darjah Celsius selama 15 hingga 20 minit. Tujuan pemanggangan ini adalah untuk mengurangkan tahap kelembapan pada biji.
Jika ingin menambah rasa dan menghasilkan sedikit masin pada kuaci, kebiasaannya biji bunga matahari akan direndam di dalam air masin semalaman sebelum memanggangnya di dalam ketuhar.
Kuaci Sebagai Snek
Nama kuaci bermula dari perkataan Cina iaitu Guazi yang merujuk kepada merujuk kepada biji tanaman yang dipanggang. Ini adalah makanan ringan yang popular di China, Malaysia dan Indonesia.
Pengeluar terbesar kuaci di Malaysia adalah Charcheer (Malaysia) Sdn. Bhd. Syarikat ini mula ditubuhkan pada tahun 2000 yang menghasilkan pelbagai jenis snek biji bunga matahari berperisa yang boleh dikonsumsi untuk semua pengguna.
Untuk pengetahuan anda juga, Chacheer (Malaysia) Sdn. Bhd. merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga ke hari ini. Jadi, bagi sebarang isu yang meragui akan status halalnya, anda boleh menyemaknya di laman rasmi Jakim.
Sumber: 88Acres Sunflower NSA MyAgri