Pastinya anda pernah mengetahui akan isu kebanyakan produk makanan seperti coklat, susu atau jem yang menggunakan gelatin sebagai salah satu bahan di dalamnya.
Perkara ini telahpun mendatangkan kerisauan yang mana adakah produk tersebut boleh dan halal untuk dimakan oleh pengguna Muslim?
Untuk pengetahuan anda, tujuan gelatin digunakan sebagai ramuan tambahan atau kondisioner makanan dalam industri pemprosesan makanan. Fungsi gelatin termasuk:
- Agen pemekat untuk makanan bersos.
- Agen penstabilan untuk penghasilan makanan yang diproses seperti sosej, nuget dan daging burger.
- Agen pelembut yang boleh dijumpai dalam produk bakeri dan aiskrim
- Agen pembuih yang dihasilkan untuk produk susu.
- Agen pembentuk/konsistensi yang hadir di dalam gula-gula dan produk sejenisnya
- Memperbaiki struktur dan kestabilan yogurt, dadih, keju dan mentega
- Turut digunakan dalam industri ubatan dan suplemen yang membantu membentuk dan mengeraskan sarung kapsul
Terdapat dua jenis gelatin yang hadir di pasaran iaitu gelatin bovine dan gelatin porcine yang berasal daripada khinzir.
Bagi gelatin porcine, ia sememangnya telah disahkan status haramnya kerana majoriti gelatin jenis ini diperoleh daripada kulit babi yang kolagennya masih muda. Gelatin daripada sumber ikan juga dihasilkan daripada proses pengasidan ini.
Apa Itu Gelatin Bovine?
Ia merupakan gelatin yang dihasilkan dari daging lembu. Namun, ada keadaan yang mana sumber untuk memproses gelatin ini adalah daripada kerbau atau kambing. Gelatin jenis ini lebih sukar untuk dihasilkan kerana menggunakan kolagen yang matang.
Kebiasaannya, makanan yang mempunyai kandungan gelatin bovine boleh dimakan oleh orang Muslim jika berasal dari lembu yang disembelih dan diuruskan dengan betul.
Walau bagaimanapun, ada juga kes yang mana gelatin bovine juga boleh dihasilakan daripada lembu yang tidak disembelih dan sumbernya adalah diragui dan ini perlu dielakkan dari dimakan.
Oleh itu, anda haruslah berhati-hati dan memeriksa pek untuk mengetahui status halal sesuatu makanan atau bahan kandungannya. Kebiasaannya, pengeluar tidak akan menyatakan penggunaan gelatin di pek pembungkus. Sebaliknya, mereka akan menyatakan yang mana produk ini menggunakan penstabil dan pengemulsi sebagai kondisioner makanan yang dibenarkan.
Kegunaan Gelatin Bovine Dalam Makanan
Gelatin bovine mempunyai pelbagai manfaat kesihatan dan boleh digunakan sebagai rawatan untuk sesetengah keadaan atau penyakit termasuk:
- Merawat dan memperbaiki keanjalan kulit. Hal ini kerana, gelatin mengandungi kolagen yang baik dan berfaedah untuk memperbaiki penampilan kulit.
- Bertindak sebagai sumber protein kerana gelatin hadir dengan makronutrien yang diperlukan oleh badan dalam kadar yang tinggi.
- Membantu pencernaan dengan meningkatkan penghasilan lapisan mukosa sihat di dalam perut. Ia juga merangsang pengeluaran jus gastrik untuk memudahkan proses pencernaan.
- Mengurangkan kesakitan sendi. Dengan kehadiran kolagen juga, ia mengurangkan sakit sendi yang dikaitkan dengan keradangan selain mengurangkan risiko osteoartritis.
Bagaimana Untuk Menentukan Sama Ada Gelatin Tersebut Halal Atau Haram?
Penentu status halal gelatin bovine ini adalah berdasarkan:
- Sumber gelatin
- Proses Pengeluaran
- Status kebersihan secara keseluruhan
Gelatin adalah halal sekiranya sumber haiwan yang digunakan dalam pengeluarannya adalah daripada haiwan yang halal dimakan dan haiwan tersebut telah melalui proses sembelihan mengikut syariat Islam.
Tambahan untuk kebanyakan produk pastinya perlu mendapatkan pengesahan dan pengiktirafan dari KKM dan juga JAKIM sebelum mula ditawarkan di pasaran. Oleh itu, sebelum membeli haruslah anda memastikan pelabelan produk yang dibeli mempunyai logo halal yang telah diiktiraf JAKIM.
Pensijilan halal oleh JAKIM atau badan-badan Islam yang diiktiraf oleh JAKIM boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan dalam mendapatkan produk halal.
Sumber: MyHealth, NCBI, Islam QA Productnation