Fave sebelum ini telah pun hadir dengan integrasi sokongan dompet digital GrabPay melalui aplikasi Fave. Terbaru, Fave juga dilihat telah menyertai ShopeePay, Touch ‘n Go eWallet dan beberapa bank tempatan dalam menyokong pembayaran DuitNow QR.
Untuk pengetahuan anda, DuitNow QR merupakan kod imbasan universal yang ditawarkan oleh PayNet.
Menerusi DuitNow QR FavePay, ia dijangka akan membolehkan pelanggan menggunakan satu kod QR bagi membayar di 20,000 restoran dan peruncit di seluruh negara menerusi aplikasi Fave atau dompet digital, serta aplikasi-aplikasi perbankan mudah alih yang lain.
Bukan itu sahaja, inisiatif penambahan DuitNow QR pada aplikasi Fave juga dilihat akan menggalakkan pekedai untuk menerima bayaran merentasi pelbagai saluran, bahkan menaik taraf pengesahan dan penyatuan masa sebenar dengan platform FaveBiz.
Untuk yang ingin menggunakan DuitNow QR FavePay, anda berpeluang untuk menikmati ganjaran daripada peniaga dan menikmati pulangan tunai sehingga 15%, selain berpeluang menikmati cara pembayaran fleksibel tanpa faedah dengan FavePay Later.
Jangan lupa untuk muat turun aplikasi Fave di kedai atas-talian App Store dan Google Play Store.