Tidak dinafikan topi tukang masak direka untuk memastikan penjagaan kebersihan sewaktu pengendalian dan penyediaan makanan dapat dikawal. Ia bagi mengurangkan risiko rambut tukang masak masuk ke dalam makanan.
Namun, tahukah anda sebenarnya terdapat fungsi lain yang turut ditampilkan sekali bersama-sama topi yang dipakai?
Menurut Escoffier, 100 lipatan topi tukang masa dikatakan mewakili 100 cara berbeza yang harus diketahui oleh seorang tukang masak untuk menyediakan dan memasak telur.
Mengapa Ketinggian Topi Adalah Penting?
Malah, tidak semua tukang masa memakai bentuk atau rekaan yang sama. Hal ini kerana, di setiap stesen dan pangkat di dapur menampilkan ketinggian topi dan bentuk yang berbeza.
Tukang masak pada kedudukan tertinggi dari semua kakitangan dapur akan memakai topi tertinggi. Sementara topi dengan ketinggian yang sedikit lebih pendek akan digunakan oleh tukang masak dalam hierarki yang lebih bawah.
Marie Antoine Carême dianggap sebagai perintis kepada penggunaan topi dalam kalangan tukang masak di Perancis pada tahun 1800-an. Beliau dikatakan telah memakai tinggi 18 inci sehingga memerlukan sokongan kadbod.
Namun kini, perbezaan ketinggian dan rekaan topi ini tidak berkaitan dengan senioriti, tetapi ia masih lagi berfungsi untuk membezakan tugasan tukang masak.
Asal Usul Topi Tukang Masak – Bertujuan Untuk Pengudaraan?
Pengenalan dan penggunaan topi dalam kalangan tukang masak telah bermula sejak abad ke-16. Kisah pengenalan topi ini berasal dari dapur lama istana dan restoran mewah di Eropah.
Pada ketika itu, dapur tersebut tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik ketika tukang masak menyediakan makanan. Malahan, disebabkan pelbagai hidangan dan kuantiti makanan akan disediakan dalam satu hari, maka minyak dan kotoran makanan akan terkumpul tebal dan melekat pada siling.
Untuk melindungi bahagian atas kepala dari minyak yang jatuh, para tukang masak meminta pembantu rumah untuk mengumpulkan bahagian-bahagian cadar lama. Kemudian, mereka menggubahnya menjadi satu penutup kepala bentuk silinder tinggi dengan kantung di bahagian atas.
Terdapat juga kisah lain yang dikatakan berkaitan dengan kebersihan makanan. Raja Henry VIII menemui rambut di supnya. Sejak dari itu, beliau memerintahkan tukang masak untuk mula memakai topi untuk mengelakkan perkara yang sama berulang.
Adakah Penggunaan Topi Tukang Masak Tidak Lagi Relevan?
Ia masih lagi relevan dan pemakaiannya masih lagi disarankan kerana jika dilihat dari sudut keselamatan makanan, penggunaan topi memainkan peranan yang sangat penting dalam kalangan tukang masak.
Namun, disebabkan sekarang telah banyak restoran mandiri yang lebih kecil, maka pemakaian topi tidak lagi popular dan juga pemilihan pakaian untuk kakitangan dapur juga dilihat menjadi sangat berbeza-beza dan sangat bergantung pada gaya, ukuran dan kepimpinan dapur atau restoran.
Sumber: Chef Pencil Escoffier EDU Mental Floss