Menurut WHO, sakit leher dan tengkuk adalah salah satu kecederaan otot atau tulang yang paling kerap dialami oleh individu. Sekitar 20 peratus individu mengalami simptom sakit tengkuk normal sementara 50 peratus lagi melibatkan kes yang lebih kronik.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Sakit Tengkuk?

Sakit tengkuk adalah keradangan yang melibatkan rasa sakit pada mana-mana bahagian leher dan boleh melibatkan bahagian bahu, kepala dan muka.

Masalah ini boleh berpunca daripada penggunaan otot, tendon, ligamen dan saraf yang tidak stabil ataupun ketegangan otot akibat tidak bergerak pada tempoh yang lama. 

Berikut adalah faktor penyebab sakit tengkuk yang mungkin boleh dialami oleh segelintir inidividu:

  • tabiat postur yang tidak baik
  • ketidakseimbangan dan kurang stabiliti pada otot tengkuk
  • kecederaan whiplash – biasanya berlaku dalam kalangan individu yang terlibat dalam kemalangan melibatkan kereta atau sukan, penderaan fizikal dan trauma jenis lain, seperti jatuh.

Simptom Yang Biasa Dialami Ketika Sakit Tengkuk

Untuk pengetahuan anda, sakit leher biasanya melibatkan satu atau lebih gejala dan tanda berikut:

  • Leher terasa tegang dan sukar untuk digerakkan. Apabila anda cuba untuk memusingkan kepala ke sisi kiri dan kanan, otot anda terasa seperti kaku dan tidak boleh digerakkan dengan baik.
  • Sakit kepala. Kadangkala ia boleh mempengaruhi otot dan saraf yang bersambung dengan kepala yang mana individu biasanya akan mengaitkannya dengan faktor tekanan.
  • Otot leher dan bahu anda terasa keras dan sakit. Keadaan ini berlaku akibat tindak balas otot ke atas tekanan fizikal atau emosi yang berpanjangan. Otot leher boleh mengalami simpul keras yang lembut ketika disentuh, dan ianya disebut sebagai titik pemicu.

Pemilihan Bantal Yang Bersesuaian Jika Anda Mengalami Sakit Tengkuk

Penggunaan bantal yang betul dan bersesuaian adalah penting dalam memastikan keselesaan leher anda. Hal ini kerana, batal berfungsi untuk menampung leher dan kepala.

Oleh itu, pemilihan ketinggian yang betul sangat penting untuk mengelakkan regangan dan tekanan yang berlebihan. Pastikan anda tidak menggunakan bantal yang terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Sekiranya anda menggunakan bantal terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan tekanan meningkat ketika leher berusaha mengimbangi kekurangan sokongan.

Sementara bantal terlalu rendah pula dilihat tidak cukup untuk menampung leher dan kepala sehingga akan mencetuskan ketidakselesaan.

Jadi, apakah faktor penting dalam pemilihan bantal?

Sekiranya anda secara meniarap dan mata menghadap ke atas siling, anda disarankan untuk menggunakan:

  • Bantal yang selari dengan tinggi bahu anda. Dengan ini, ia membolehkan anda mengekalkan tulang belakang bahagian atas dalam kedudukan semula jadi dengan sedikit lekukan ke hadapan.
  • Gunakan juga tilam yang menyokong badan anda yang mana ia tidak terlalu keras dan sedikit tenggelam ke dalam supaya mudah untuk anda pusing ke kiri dan kanan.

Jika anda tidur pada bahagian sisi anda:

  • Elakkan bantal terlalu tinggi. Sekiranya bantal anda terlalu tinggi atau rendah, leher anda akan bengkok dan anda mungkin mengalami kesakitan dari masa ke masa.
  • Pastikan dagu tetap neutral. Cuba elakkan dagu anda diletakkan dekat dengan dada dan sebaiknya adalah dalam keadaan sedikit mendongak.

Jika anda masih mengalami rasa sakit tengkuk selepas membetulkan posisi tidur dan menukar bantal yang bersesuaian, anda mungkin boleh mencuba pek ais atau pek panas bagi meredakan kesakitan tersebut.

Selain itu, buat aktiviti regangan leher dengan lembut sebelum tidur dan ketika anda bangun kerana ia membantu peredaran darah dalam saraf lebih lancar.

Sumber: Spine Health