Carian
Apa Itu Hiperpigmentasi? Adakah Ia Boleh Memudar Secara Semula Jadi?
August 9, 2021 Lina Rosli

Antara keadaan kulit yang terjadi akibat hiperpigmentasi adalah bintik usia, melasma dan juga hiperpigmentasi pasca-radang.

Ia biasanya terjadi disebabkan oleh faktor kulit yang terdedah pada cahaya matahari pada suhu melampau dan terlalu kerap.

Oleh sebab itu, kebanyakan pakar mengesyorkan penggunaan pelindung matahari dan rawatan kosmetik yang bersesuaian bagi melindungi kulit dan menghentikan hiperpigmentasi daripada menjadi lebih gelap.


Apa Itu Hiperpigmentasi?

Hiperpigmentasi adalah keadaan atau kesan seperti tompok pada kulit menjadi lebih gelap daripada kulit normal yang biasanya tidak berbahaya.

Keadaan ini disebabkan oleh lebihan melanin dan pigmen coklat yang menghasilkan warna kulit secara berlebihan sehingga membentuk deposit pada kulit. Keadaan ini biasanya terjadi untuk semua individu daripada semua lapisan umur, kaum dan keadaan kulit.

Untuk hiperpigmentasi juga, ia tidak semestinya berlaku secara besar-besaran yang mana muncul dikawasan kulit di muka sahaja, ia juga boleh berlaku pada kawasan lain termasuk tangan, badan dan juga kaki.

Namun, anda tidak perlu khuatir kerana hiperpigmentasi biasanya tidak kekal bergantung kepada pendedahan kulit pada sinar matahari, keradangan, saiz dan tahap kritikalnya pada kulit.

Jenis-jenis Hiperpigmentasi

Berikut adalah tiga jenis hiperpigmentasi yang paling kerap berlaku dalam kalangan individu:

Bintik Usia

Bintik usia adalah bentuk hiperpigmentasi yang biasa. Ia berlaku kerana kerosakan sinar matahari yang dikenali sebagai. Ia muncul dalam saiz tompok-tompok kecil yang gelap ini biasanya terdapat di tangan dan muka atau kawasan lain yang sering terdedah kepada cahaya matahari.

Melasma

Jenis hiperpigmentasi melasma merupakan keadaan yang disebabkan oleh hormon dan paling selalu muncul semasa tempoh kehamilan

Ia juga dikenali sebagai chloasma yang mana keadaan apabila tompokan hiperpigmentasi melasma menjadi lebih besar berkembang terutamanya pada wajah.

Keadaan ini boleh terjadi pada kedua-dua jantina lelaki dan wanita. Namun, wanita adalah golongan paling cenderung dalam mengalami masalah ini yang mana 10 peratus daripadanya adalah wanita hamil dan pada 25 peratus yang lain pula adalah wanita yang mengambil pil perancang.

Hiperpigmentasi pasca-radang

Individu yang pernah mendapatkan rawatan laser atau mempunyai masalah jerawat adalah golongan yang mengalami hiperpigmentasi pasca-radang. Ia berlaku apabila kecederaan kulit ataupun parut yang meninggalkan perubahan warna pada kulit.

Bolehkah Hiperpigmentasi Memudar Secara Semula Jadi?

Ya, hiperpigmentasi dapat memudar secara semula jadi, tetapi biasanya memerlukan masa yang cukup lama. Semakin anda terdedah kepada cahaya matahari tanpa perlindungan, hiperpigmentasi akan kekal lebih lama di kulit anda.

Walaupun ia boleh hilang selepas beberapa minggu atau bulan, namun adalah lebih baik anda menyingkirkannya dengan lebih cepat menggunakan produk penjagaan kulit seperti serum vitamin C.

Bahan-bahan lain yang membantu menghilangkan hiperpigmentasi adalah niacinamide dan juga arbutin yang mana perlu dipakai secara berkala.

Namun, ada juga kes yang lebih kronik dan sukar dirawat menggunakan produk penjagaan kulit. Maka, anda mungkin perlu mendapatkan rawatan lanjut dari pakar dermatologi yang biasanya melibatkan rawatan laser, pengelupasan kimia, hidrokuinon dan tretinoin.

Sumber: AOCD Organization Eucerin Medlineplus Gov

Komen