Lina Rosli Diterbitkan 11 August 2021

Tips Untuk Menggelakkan Buah-Buahan Dihinggapi Lalat Buah

Apa itu lalat buah? Ia adalah sejenis serangga perosak yang biasanya akan menghinggapi buah-buahan dan merosakkan kualiti rasanya.

Lalat buah ini turut dikenali sebagai Bactrocera carambolae. Lazimnya lalat buah akan bertelur pada peringkat awal pembentukan buah yang disukainya lebih-lebih lagi pada jenis buah yang berkulit nipis seperti belimbing, mangga, betik, strawberi dan banyak lagi.

Tempoh untuk telur lalat ini menetas adalah sekitar 1 hingga 2 hari yang juga bergantung kepada jenis dan peringkat kematangan buah. Selepas telur menetas, ia akan bertukar menjadi larva yang tinggal dalam buah dan makan bahagian isi buah yang menyebabkan kerosakan kepada hasil tersebut.


Bagaimana Lalat Buah Boleh Memasuki Dapur Anda?

Antara faktor yang boleh menarik perhatian lalat buah untuk memasuki dapur adalah:

  • Mempunyai bau atau aroma buah yang telah masak
  • Turut hadir jika terdapat bau busuk seperti bau sampah di dalam kawasan dapur

Seperti serangga yang lain, lalat buah juga berkembang dan membiak di dalam saluran air, di kawasan pembuangan sampah dan juga baldi yang mempunyai air.

Setelah mereka mula membiak di dalam rumah, lalat betina dapat bertelur sekitar 500 telur dan telur akan menetas dalam tempoh 24 hingga 30 jam yang mana seperti yang dinyatakan pada peranggan awal artikel.


Cara Mencegah Lalat Buah Dan Serangga Perosak

Berikut adalah beberapa langkah yang perlu di ambil oleh setiap penghuni rumah bagi memastikan lalat buah tidak dapat membiak dan merosakkan makanan dan buah-buahan anda.

Hapuskan Tempat Berpotensi Untuk Pembiakan

Pertama, anda harus ingat bahawa lalat berkembang biak di persekitaran lembap. Tempat yang sering basah di rumah anda adalah kawasan sinki,  tanaman pasu dan juga saluran aliran air sinki.

Oleh itu, anda perlu bersihkan kawasan ini dengan cara sama ada menggunakan cuka ataupun peluntur bukan klorin yang dicampur dengan air.

Periksa Tingkap Dan Pintu

Pastikan tingkap dan pintu anda tertutup rapat setelah selesai memasak dan mengemas. Sekiranya anda ingin membuka tingkap untuk membiarkan angin masuk, pastikan anda mempunyai layar untuk mencegah lalat masuk ke dalam rumah.

Simpan Dan Bersihkan Makanan Yang Tersisa

Elakkan daripada membiarkan buah atau sayur seperti pisang, bawang, tomato atau kentang terdedah.

Simpan di dalam peti sejuk atau balut dan bungkus buah supaya tiada aroma yang boleh menarik perhatian lalat.


Gunakan Perangkap Serangga

Sekiranya kaedah pencegahan yang biasa tidak berfungsi, anda juga boleh menggunakan racun serangga ataupun perangkap lalat.

Perangkap lalat boleh dibeli di kedai runcit berdekatan. Langkah ini membantu mencegah pembiakan lalat dengan menjadi umpan bagi menangkap lalat yang masuk.

Adakah Lalat Buah Berbahaya?

Selain boleh merosakkan makanan, lalat buah juga berpotensi mencemari makanan dengan bakteria dan patogen lain.

Hal ini kerana, ia sering membiak di kawasan yang kotor. Jadi apabila ia menghinggapi buah-buahan anda, sudah tentu ia akan membawa sekali bakteria-bakteria yang tidak baik untuk kesihatan anda.

Oleh itu, pastikan anda sentiasa membasuh buah sebelum memotong dan menyediakan kepada ahli keluarga anda.