Carian
Samsung Galaxy Z Flip3 Dan Z Fold3 – Produktiviti Dipadankan Dengan Rekaan Yang Elegan
August 11, 2021 Lina Rosli

Sejak dari awal tahun 2021, pelbagai spesifikasi dan rekaan untuk peranti boleh-lipat yang ditawarkan Samsung telahpun tertiris di arena web. Ia menyaksikan tampilan rekaan yang moden dan unik yang kini dilihat telah menjadi pilihan oleh kebanyakan pengguna telefon pintar.

Bersesuaian dengan norma masa kini, sudah tentu kadar pelaksanaan kerja dan aktiviti menggunakan gajet dan peranti pintar adalah tinggi. Maka tidak hairanlah ramai pengguna kini menjadikan kriteria kebolehan multi-tugasan sebagai salah satu elemen penting yang banyak dicari sebelum mendapatkan telefon pintar yang baharu.

Pada acara Unpacked 2021 yang lepas, Samsung telahpun memperkenalkan barisan baharu untuk siri Galaxy A. Ia memperlihatkan rekaan dan penampilan warna yang cukup menawan sesuai untuk penggunaan harian lebih-lebih lagi untuk anda yang menggemari rekaan yang minimalis dan bergaya.


Namun untuk acara Samsung Galaxy Unpacked 2021 kali ini, Samsung dilihat memfokuskan kepada siri Galaxy Z pula iaitu Samsung Galaxy Z Fold3 dan Samsung Galaxy Z Flip3.


Bersama-sama dengan pengenalan peranti pintar baharu, Samsung juga hadir dengan beberapa fungsi menarik yang disertakan di dalam kesemua siri ini seperti mod Flex dan fungsi kamera yang boleh dikawal menggunakan Air Actions dan juga penawaran Galaxy S Pen bagi kawalan penggunaan peranti dengan lebih efisien.

Namun, apa yang menarik perhatian Tajria ketika acara berlangsung adalah rekaan hadapan yang lebih menarik untuk model Samsung Galaxy Z Flip3.

Pembaharuan Skrin Hadapan Samsung Galaxy Z Flip3

Salah satu tarikan utama yang ada pada Samsung Galaxy Z Flip3 penawaran warna yang sangat memukau iaitu warna ungu, hijau, hitam dan juga krim.


Tidak seperti model Samsung Galaxy Z Flip2 sebelum ini, Samsung Galaxy Z Flip3 kini menampilkan skrin yang lebih besar yang membolehkan pengguna terus menatal notifikasi selain turut membenarkan pengguna melihat dan membalas mesej tanpa perlu mengakses skrin dalam.


Perubahan ini sememangnya antara yang sangat ketara bagi model Z Flip3 ini kerana, jika dahulu skrin yang kecil hanya boleh membenarkan pengguna melihat notifikasi dan menekan butang seterusnya ketika menggunakan aplikasi Spotify.

Malah, anda juga boleh memilih tema jam yang menarik yang juga boleh dipadankan bersama antaramuka jam tangan Samsung Galaxy Watch anda. Menarik bukan? Fungsi ini sangat sesuai bagi anda yang mementingkan keseragaman untuk kesemua peranti yang mana ia seolah-olah mencerminkan personaliti diri menerusi gajet yang anda gunakan.


Bagi anda yang ingin melakukan kustomasi pada kerangka peranti, Samsung turut menyediakan ruang kosong untuk anda menampal dan melekatkan pelekat untuk menjadikan peranti pintar anda lebih dekat dengan personaliti peribadi anda.

Penggunaan S Pen Memudahkan Lagi Fungsi Multi-Tugasan Pada Samsung Galaxy Z Fold3

Jika sebelum ini, S Pen tidak disertakan bersama-sama dengan model Samsung Galaxy Z Fold2. Namun untuk model tahun ini, anda tidak perlu gusar lagi akan masalah untuk melakukan multi-tugasan sewaktu menggunakan peranti.


Hal ini kerana, Samsung Galaxy Z Fold3 merupakan peranti pertama untuk siri boleh-lipat yang menyokong stylus. Jadi, ia memudahkan anda mengambil nota sewaktu menyertai sesi telesidang selain melakukan lakaran di skrin dengan lebih baik.


Bukan itu sahaja, jika anda membuka skrin besar 7.6-inci di bahagian dalam, anda akan mendapati tiada lubang kamera ditampilkan pada Samsung Z Fold3. Hal ini kerana, ia menggunakan teknologi kamera yang diletakkan pada bahagian bawah skrin.


Nampaknya, ia adalah beberapa penawaran yang menarik perhatian Tajria untuk pelancaran siri Galaxy Z Fold tahun ini. Ia bukan sahaja menjadikan pengalaman penggunaan peranti yang lebih mudah dan pantas sekaligus meningkatkan produktiviti harian, malah rekaan yang ditampilkan juga cukup elegan selain menjadikan siri ini berdiri megah di dalam kelas mereka yang tersendiri.


Selain peranti boleh lipat, Samsung juga dilihat menawarkan beberapa produk lain seperti Samsung Galaxy Watch4 yang menyertakan ciri baharu iaitu kiraan komposisi badan menerusi teknologi BIA dan juga Samsung Galaxy Buds2 yang menawarkan rekaan yang lebih kecil dan warna yang lebih menarik.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan siri Galaxy terbaru daripada Samsung, sesi pra-tempahan akan dibuka bermula 19 Ogos sehingga 21 September 2021.

Berikut adalah senarai harga yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia:

  • Samsung Galaxy Z Fold3 128GB – RM6,699
  • Samsung Galaxy Z Fold3 256GB – RM7,099
  • Samsung Galaxy Z Flip3  128GB –  RM3,999 
  • Samsung Galaxy Z Flip3 256GB – RM4,199
  • Samsung Galaxy Watch4 (40mm) – RM899
  • Samsung Galaxy Watch4 (44mm) – RM999
  • Samsung Galaxy Watch4 Classic (42mm) – RM1,299
  • Samsung Galaxy Watch4 Classic (46mm) – RM1,399
Komen