Istilah “almari pakaian kapsul” diciptakan oleh pemilik butik London bernama Susie Faux pada tahun 1970-an.

Menurutnya, idea kapsul ini adalah untuk menyediakan beberapa item fesyen dan juga pakaian harian yang berkualiti selain pakaian yang dapat disesuaikan dalam pelbagai acara atau aktiviti.


Berdasarkan penulisan Wendy Mak di dalam The Capsule Wardrobe: 1000 Outfits From 30 Pieces, beliau mengatakan konsep almari pakaian kapsul biasanya melibatkan koleksi pakaian yang semuanya boleh dicampur dan dipadankan untuk membuat sebilangan gaya yang baharu dan berbeza.

Jadinya, anda tak perlu membeli atau menyimpan pakaian yang terlalu banyak di dalam almari bagi mendapatkan gaya yang pelbagai untuk fesyen harian anda.

Apakah Kriteria Almari Pakaian Kapsul?

Sebaik sahaja anda menukar konsep almari pakaian biasa anda kepada konsep almari pakaian kapsul, pemilihan pakaian dan juga gaya akan menjadi lebih mudah.

Jika sebelum ini anda mengambil masa 10 minit untuk menentukan padanan baju dan seluar apa yang perlu dipakai, namun dengan almari pakaian kapsul, anda hanya memerlukan 10 saat sahaja untuk tampil bergaya dengan pilihan anda.

Kriteria utama untuk almari pakaian kapsul termasuk:

  •  Mempunyai jenis dan pilihan pakaian yang anda gemari
  • Pakaian yang dimasukkan kedalam almari adalah jenis pakaian yang tahan lama yang selari untuk pelbagai zaman
  • Pakaian tersebut juga perlu bersesuaian dengan pelbagai jenis musim dan acara

Namun, untuk konsep ini, ia tidak bermakna anda boleh terus bergaya seakan menggunakan mesin yang berfungsi untuk memilih baju. Konsep ini lebih kepada idea untuk menjadikan anda lebih kreatif dengan apa yang anda miliki.


Berapakah Jumlah Item Seperti Baju, Seluar, Tudung Yang Perlu Ada Dalam Almari Pakaian Kapsul?

Setakat ini, tidak ada had pakaian yang dinyatakan bagi menyediakan almari pakaian kapsul.

Walau bagaimanapun, penting untuk diingatkan bahawa idea itu bermula daripada konsep minimalism yang mana jika sebelum ini anda ada ratusan helaian baju, maka ia perlu dikurangkan menjadi sekadar puluhan baju sahaja.

Seperti yang dinyatakan di dalam buku oleh Wendy Mak, beliau mampu hasilkan 1000 gaya dengan hanya 30 helai baju sahaja. Jadinya apa yang perlu anda lakukan hanya memilih pakaian yang berkualiti berbanding kuantiti.


Bagaimana Hendak Menentukan Pakaian Yang Anda Perlukan?

Untuk memulakan dan menentukan pakaian mana yang harus disimpan dan mana yang harus dibuang, anda boleh memikirkan pakaian kegemaran anda dan bagaimana mereka membuat anda menjadi yakin dengan gaya tersebut.

Setelah itu, pilih pula padanan mana yang untuk digayakan bersama baju tadi?

Kemudian, analisis lagi pakaian mana yang anda merasakan tidak boleh bergaya atau fesyen anda tidak lengkap tanpanya?

Seterusnya, nilaikan apa yang ada di dalam almari anda dan periksa apakah anda suka setiap item atau membencinya. Sekiranya anda membencinya, tanyakan pada diri sendiri mengapa ia memerlukan ruang simpanan yang berharga.

Petua lain yang boleh anda lakukan juga termasuk mengumpulkan dan menyusung pakaian anda mengikut warna. Dengan ini, ia akan menjadi lebih mudah untuk mendapatkan gambaran sekaligus membantu anda memadankan pakaian anda dengan cepat.