Jika anda lihat dalam kebanyakan video melibatkan rutin penjagaan kulit yang dimuatnaik di Youtube dan juga Instagram, anda akan mendapati pengamal kecantikan atau beauty guru akan menitikberatkan penggunaan pelapik kapas (cotton pad) untuk setiap penggunaan produk cecair.

Hal ini kerana, pelapik kapas ini mempunyai kebolehan dalam menyerap cairan dengan cepat selain membantu menyebarkannya di kulit dengan lebih berkesan.

Bukan sekadar itu, pelapik kapas juga memainkan peranan penting dalam memastikan kebersihan kulit selain bertindak baik dalam mengurangkan risiko alergi dan kerengsaan kulit yang boleh disebabkan oleh kehadiran bakteria jahat pada tangan.


Tangan Anda Tidak Selalunya Bersih

Sebilangan besar masa, anda akan menyentuh dan memegang pelbagai perabot, alatan dan item yang kotor seperti suis lampu ataupun sinki yang mana kedua-dua kawasan ini adalah antara yang paling berisiko mempunyai kotoran bakteria.

Oleh itu, bagi memastikan rutin penjagaan kulit anda bermakna, penggunaan pelapik kapas merupakan alternatif yang terbaik untuk dipraktikkan.


Selain ia mengurangkan penyebaran bakteria, penggunaan tangan ketika memakai penyegar dan produk cecair adalah tidak cukup efektif untuk merata atau menutupinya ke seluruh wajah.

Jadi menggunakan pelapik kapas dapat membantu mengendalikan aplikasi produk selain membolehkan anda menumpukan perhatian pada kawasan tertentu seperti mata bawah dan sebagainya.

Pemilihan Pelapik Kapas Yang Bersesuaian

Walau bagaimanapun, pelapik kapas yang salah boleh menyebabkan kegatalan pada kulit sensitif dan mencetuskan reaksi alergi.

Bagi mengelakkan isu ini berlaku, pastikan anda elak daripada membeli pelapik kapas yang mempunyai tekstur kasar ataupun dihasilkan daripada bahan yang yang menggunakan peluntur dan juga kimia berbahaya.


Selain itu, elakkan juga daripada memilih pelapik kapas yang boleh meninggalkan serat sewaktu menyapu cecair di kulit. Jika anda menggunakannya, ia dapat menyumbat pori-pori dan seterusnya memberi kerengsaan pada permukaan kulit.

Oleh sebab itu, ramai individu lebih gemar memilih pelapik kapas daripada kebanyak jenama kecantikan Korea. Ia kerana mereka hadir dengan kapas yang mempunyai tekstur yang lebih halus dan lebih spongey daripada bola kapas, menjadikannya lebih lembut pada kulit.

Harus diingatkan, tanpa pelapik kapas yang betul, langkah penjagaan kulit dan penggunaan penyegar serta air micellar akan menjadi sia-sia. Hal ini kerana, pada langkah kini, pelapik kapas berfungsi membersihkan kotoran dengan sebaiknya selain mencuci kosmetik yang tersisa pada kulit secara mendalam.

Untuk mendapatkan pelapik kapas berkualiti, anda boleh melakukan beberapa eksperimentasi dan pastikan anda menemukan kapas dengan tekstur yang telah ditekan dan seratnya tidak terlerai selepas digunakan.