Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, Malaysia masih lagi berada di dalam musim Monsun Barat Daya dan dijangka akan berterusan sehingga pertengahan September 2021.
Lazimnya, sepanjang tempoh ini, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil sekaligus mengurangkan pembentukan awan hujan. Oleh itu, kebanyakan tempat di seluruh negara cenderung untuk menerima bilangan hari tanpa hujan lebih tinggi berbanding bilangan hari hujan.
Disebabkan itu juga, tidak hairanlah terdapat individu yang mula mencari produk penyaman udara untuk dipasang dirumah menerusi laman edagang atas-talian.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu anda pertimbangkan sewaktu pemilihan penyaman udara. Ia termasuk:
- Memilih saiz unit yang bersesuaian untuk ruang yang ingin dipasang
- Mendapatkan unit penyaman udara yang jimat tenaga
- Mengetahui jenis penyaman udara yang menepati keperluan ruang sama ada jenis pisah (split), jenis tingkap (window) dan jenis mudah-alih (portable)
Untuk pengetahuan anda, mendapatkan penghawa dingin yang terlalu besar untuk rumah anda boleh menimbulkan beberapa isu masalah seperti meningkatkan bil elektrik dan boleh menyebabkan titik panas dan penyejukan yang tidak rata di dalam rumah anda.
Selain itu juga, anda juga perlu menentukan ruang mana yang bersesuaian untuk pemasangan penyaman udara. Untuk mengetahui lebih lanjut, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda 3 tips bagi memastikan ruang rumah anda mendapatkan udara dingin dan sekata.
Tentukan Ruang Yang Kerap Anda Gunakan
Secara amnya, unit penyaman udara yang paling kerap dibeli oleh individu adalah jenis pisah.
Jika anda mendapatkan penyaman udara jenis ini, anda harus memasangnya di lokasi pusat untuk rumah anda seperti ruang makan ataupun ruang tamu dan juga ruang menonton televisyen.
Mengapa perlu memasangnya di ruang pusat di rumah? Jawapannya adalah ia bagi memastikan aliran udara seimbang di seluruh ruang anda. Sekiranya anda memasangnya di:
Bilik tidur
Kedudukan terbaik untuk penyaman udara di bilik tidur adalah di dinding yang tidak mengalirkan udara langsung pada katil.
Sebilangan besar orang mendapati bahawa udara sejuk yang terkena secara langsung pada mereka akan menjadi terlalu sejuk dan tidak selesa untuk tidur. Jadi, adalah lebih baik jika anda memasang penyaman udara di dinding belakang kepala katil ataupun di dinding sisi katil.
Ruang tamu
Sekiranya anda memasang penyaman udara terpisah untuk ruang tamu, kami mengesyorkan memasangnya di tempat yang boleh mengarahkan aliran udara ke tempat anda duduk.
Pastikan Anda Tidak Meletakkan Penyaman Udara Pada Kawasan Yang Panas
Tidak dinafikan tugas penyaman udara adalah untuk memastikan ruangan rumah anda mempunyai udaran segar dan dingin.
Namun, penyaman udara sendiri tidak kebal terhadap suhu yang melampau seperti anda meletakkannya pada kawasan yang sering terkena matahari langsung (direct sunlight).
Hal ini kerana, semakin panas suhu, semakin besar daya penghawa dingin anda akan berfungsi untuk memastikan ruang tersebut tetap sejuk. Oleh itu, meletakkannya di kawasan yang teduh adalah lebih baik kerana ia akan mengurangkan tekanan penyaman udara.
Dalam keadaan yang ideal, pasang penyaman udara di dinding yang tidak menghadap cahaya matahari ataupun ruang seperti di atas pintu gelangsar.
Elakkan Letak Di Kawasan Yang Banyak Daun
Jika anda tingga di kawasan persendirian atau rumah taman yang mempunyai banyak pokok, elakkan daripada memasang kotak kondenser pada paras yang rendah.
Ini bangi mengelakkan daun daripada berkumpul di bahagian atas dan sisi penyeman udara. Malah, ia juga mengurangkan risiko daripada saluran gegelung penyaman udara menjadi tersumbat akibat kemasukan kotoran daun dan ranting dari luar.
Selain itu, bagi anda yang mempunyai haiwan peliharaan juga, anda dinasihatkan untuk meletakkan pagar atau pelindung kondenser bagi mengelakkan mereka dari membuang air kecil di kawasan sekitar penyaman udara anda.
Jika anda mendapati rumah anda mempunyai ruang yang sukar dan kompleks, maka anda pelru mendapatkan bantuan pakar bagi mengetahui cadangan yang paling kurang berisiko untuk anda.