Bercerita mengenai program lestari, kita dapat lihat sudah banyak jenama yang mula hadir dengan perancangan dalam menerapkan kelestarian di dalam industri teknologi. Bahkan inisiatif ini turut mendapat perhatian daripada industri lain juga seperti pertanian, automotif, fesyen, pembekal mikro dan banyak lagi.

Samsung telahpun mengumumkan beberapa perancangan yang memfokuskan kepada kelestarian dan mesra alam sekitar pada acara Samsung Galaxy Unpacked 2021 baru-baru ini.


Sebelum ini, syarikat gergasi telefon pintar ini telah memperkenalkan inovasi mereka dalam penawaran produk baharu mereka iaitu penggunaan bahan kitar semula untuk kelengkapan di dalam kotak pembungkusan seperti kertas manual pengguna, binaan peranti, kerangka pelindung selain menukar bahan plastik kepada bahan lain yang lebih mesra alam.



Bergerak ke hadapan, Samsung kini mula mempergiatkan lagi strategi kelestarian mereka menerusi program Galaxy for the Planet. Ia merupakan visi bagi memperkukuhkan dan mewujudkan ekosistem Galaxy yang lebih lestari menjelang tahun 2025.

Bagi menjayakan strategi ini, Samsung akan melabur dalam bahan-bahan mesra alam sekitar selain turut akan mengutamakan teknologi penjimatan tenaga.


Menjelang 2025, Samsung menyasarkan pengurangan tenaga untuk pengecasan kuasa sehingga di bawah 0.005W yang mana sebelum ini jenama ini berjaya mengurangkan penggunaan kuasa siap sedia di semua pengecas telefon pintar hingga 0.02W.


Menurut Samsung juga, mereka telahpun mengkaji keseluruhan ekosistem yang merangkumi pelanggan, pembekal dan juga pekerja dalaman mereka sendiri dengan menetapkan komitmen yang kukuh untuk bergerak ke arah yang lebih mesra alam sekitar.

Samsung juga dilihat akan meminimumkan pembuangan sampah hasil daripada pengeluaran peranti mudah alih mereka. Antara inisiatif yang bakal ditawarkan merangkumi pengenalan Program Galaxy Upcycling, Certified Re-Newed, dan Trade-In.

Selain itu, Samsung juga menyatakan bahawa untuk setiap produk yang dihasilkan juga dijangka akan mempunyai kitaran hayat produk yang dipertingkatkan.


Setakat tahun 2021 ini, kita dapat melihat pelbagai perubahan yang telah dilaksanakan oleh Samsung. Salah satu yang menarik perhatian Tajria adalah penawaran alat kawalan televisyen yang dilengkapi sokongan pengecasan solar iaitu Eco Remote.

Dengan adanya inisiatif seperti ini, ia dapat meminimakan penggunaan bateri AAA serta mengurangkan keseluruhan kesan alam sekitar dan juga meminimakan penggunaan sekitar 600 tan plastik di Asia Tenggara.