Lina Rosli Diterbitkan 16 August 2021

Jom Cuba Resipi Rojak Tempe Dan Tauhu Versi Johor

Setelah sekian lama tidak pulang ke kampung halaman, penulis baru-baru ini ada mencuba satu resipi yang menarik dari Johor iaitu Rojak Tauhu Dan Tempe bersama sambal kicap dan kacang.

Bagi anda yang tidak begitu biasa dengan rojak versi Johor ini, hidangan ini biasanya disajikan untuk minum petang dan juga menggunakan beberapa bahan asas seperti tauhu, tempe, timun, taugeh dan juga kuah sambal kicap yang pedas dan manis.


Untuk mencubanya, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan bagi menghidangkannya kepada keluarga.

Hidangan Untuk 3-4 Orang Makan

Bahan-Bahan Untuk Kuah Sambal Kicap

  • 2 sudu besar kacang tanah
  • 1 sudu besar ikan bilis
  • 1 sudu kecil udang kering
  • 10-15 tangkai cili api
  • Kicap

Bahan-Bahan Untuk Rojak

  • 3 ketul tauhu
  • 1 bungkus tempe
  • 1/2 batang timun (dipotong kasar namun bersaiz kecil)
  • 1 genggam taugeh (dibersihkan ekor yang tidak kemas)
  • 1 biji telur
  • 2 sudu tepung gandu,
  • 1 sudu tepung jagung
  • Garam dan kunyit

Cara Penyediaan

  1. Panaskan minyak dan goreng tauhu sehingga garing. 
  2. Di samping menunggu tahu masak, sediakan bahan untuk tempe.
  3. Di dalam satu mangkuk kecil, gaulkan garam, kunyit, tepung gandum dan tepung jagung sebati. Masukkan sedikit air untuk larutkan semua bahan.
  4. Celupkan tempe ke dalam telur dan kemudian masukkan pula ke dalam campuran tepung.
  5. Setelah itu, goreng sehingga rangup.
  6. Selepas itu, goreng pula ikan bilis untuk menyediakan kuah rojak.
  7. Kemudian, sangai kacang tanah sehingga garing.
  8. Masukkan ikan bilis, kacang, udang kering dan cili ke dalam pengisar dan kisarkannya sehingga hancur. 
  9. Akhir sekali, ambil satu mangkuk untuk letakkan bahan yang telah dikisar bersama-sama dengan kicap.

Anda boleh hidangkan kesemua bahan untuk rojak di dalam sebuah pinggan dan tuangkan kuah rojak ke atasnya. Untuk hiasan, anda boleh taburkan kacang yanbg ditumbuk kasar ke atas hidangan anda. Selamat mencuba!