Carian
Tahukah Anda Kedai Konsep Jepun Miniso Merupakan Produk Jenama China?
August 17, 2021 Lina Rosli

Miniso adalah kedai yang berkonsepkan produk gaya hidup dari Jepun yang menawarkan pelbagai jenis produk termasuk barangan rumah, kosmetik, makanan dan juga kelengkapan dapur dengan harga yang berpatutan.

Jika anda kunjungi ke beberapa pusat membeli-belah di seluruh Malaysia, pastinya anda pernah melihat akan kewujudan kedai barangan keperluan ini. Secara umumnya, kedai ini tampil dengan penawaran produk yang seakan sama dengan Muji dan juga Uniqlo, namun ia menjual produk pada harga dan kualiti seakan Daiso.

Jadi, tidak hairanlah mengapa Miniso ini sering mendapat perhatian golongan-golongan muda lebih-lebih lagi para wanita dalam mengunjungi dan membeli barang keperluan disebabkan oleh jenis produknya yang minimalis dan pelbagai selain boleh didapati pada harga yang lebih murah.


Miniso Sebenarnya Berasal Dari China Dan Bukannya Jepun?

Terdapat isu sebelum ini yang mengatakan Miniso  memasarkan dirinya sebagai produk Jepun, namun sebenarnya produk yang dijual di pasaran adalah keluaran dari China.

Untuk pengetahuan anda, Miniso sebenarnya didirikan oleh pengasas dari China yang bernama Ye Guofu. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Miniso yang juga bertanggungjawab dalam membangunkan Miniso sehingga ke hari ini.

Menurut Ye Guofu, konsep yang dibawa oleh Miniso hadir setelah beliau bersama keluarganya bercuti di Jepun pada tahun 2013. Sewaktu berada di sana, Ye Guofu menjumpai sejumlah kedai khusus di Jepun yang mempunyai produk berkualiti tinggi selain menampilkan rekaan dan pembungkusan yang menarik perhatian pelanggan.


Setelah melihat dan menerokai ekosistem kedai runcit di Jepun, Ye Guofu merancang untuk mendirikan kedai yang seakan sama menggunakan kepakaran dan kehebatan produk dari China yang mana boleh didapati pada harga yang jauh lagi murah.

Dengan memanfaatkan pengetahuan dan pengalamannya dalam pengembangan produk, rantaian bekalan dan rangkaian saluran yang besar, Ye Guofu berjaya melancarkan Miniso yang pertama di Guangzhou, China.

Kehebatan Model Perniagaan Miniso – Francais

Antara yang menarik perhatian penulis juga adalah model perniagaan yang digunakan Miniso iaitu francais.

Dengan menggunakan model peniagaan francais, maka tidak hairanlah mengapa Miniso boleh berkembang dalam masa yang singkat. Hal ini kerana, ia sudah tentu tidak memerlukan kos operasi yang tinggi untuk memperluaskan peniagaan kerana akan hadir pihak ketiga iaitu pemilik francais yang akan mengeluarkan wang, masa, dan usaha dalam memastikan kelancaran peniagaan.


Malah, model perniagaan francais adalah yang paling fleksibel yang membolehkan Miniso membawa produk baru ke pasaran dengan lebih kerap berbanding peniagaan yang lain.

Bagaimana Miniso Boleh Meraih Perhatian Penduduk Tempatan?

Selari dengan misi dan slogan Miniso didirikan iaitu membawakan produk dan kelengkapan untuk generasi muda, nampaknya jenama ini berjaya diperluaskan di kebanyakan pusat membeli-belah di Malaysia.

Salah satu faktor yang menjadi titik permulaan jenama ini berkembang adalah Miniso memahami sikap dan tingkah laku pelanggan mereka dan berjaya memberikan mereka pengalaman membeli-belah yang menyenangkan bermula dari pintu masuk sehingga mereka ke kaunter pembayaran.


Bukan itu sahaja, Miniso juga telah hadir dengan kolaborasi pelbagai jenama global seperti Marvel, Sesame Street, Disnet Mickey and Minnie, We Bare Bears dan banyak lagi. Menerusinya, mereka turut menyasarkan pelanggan yang lebih variasi bagi mengembangkan potensi mereka ke tahap yang lebih stabil.

Setakat ini, data sehingga Januari 2020, Miniso telah memiliki lebih dari 3,500 kedai di 79 negara, dengan pendapatan sekitar US$2.4 bilion pada tahun 2019. Pada bulan Mei 2021, Miniso juga membukanya kedai pertama di Porto, Portugal.

Komen