Carian
The Artisans Haven – Mempamerkan Bakat Serta Produk Buatan Tangan Keluaran Malaysia
August 18, 2021 Lina Rosli

Di Malaysia, pasaran dan platfrom yang menawarkan produk dan barang-barangan buatan tangan dilihat tidak didedahkan secara meluas dan komersial. Ia mungkin disebabkan oleh permintaan yang tidak begitu besar menjadikan ramai individu tidak begitu mengetahui tentang keberadaan peniagaan ini di dalam pasaran.

Oleh sebab itu, The Artisans Haven dilihat hadir dengan pelan perancangan yang proaktif dalam membantu menawarkan produk buatan tangan kepada umum tidak kira di peringkat Malaysia dan juga global.


Dengan kehadiran seramai 250 jenama yang berdaftar di bawah platform edagang The Artisans Haven, nampaknya mereka telah berjaya menghasilkan jualan sekurang-kurangnya RM1 juta dalam tempoh 12 bulan menerusi kempen #HandmadeisHeartmade .

Secara ringkasnya, The Artisans haven adalah medium yang menyediakan platform edagang untuk para artisan Malaysia bagi mempamerkan bakat serta produk buatan tangan yang dihasilkan asli daripada Malaysia. Apa yang menjadikan platform ini unik adalah, mereka hadir dengan penceritaan yang menarik disebalik penghasilan produk yang dilihat menjadikan produk itu tidak sama dengan penawaran produk lain di pasaran.


Menurut pengasas The Artisan Haven, idea dalam melaksanakan platform ini muncul apabila melihat terdapatnya peningkatan yang ketara dalam sektor tukang artisan buatan tangan selain ingin memenuhi keperluan mereka bagi menyara kehidupan melalui seni yang dipersembahkan.

Dalam memastikan perkembangan peniagaan yang konsisten, The Artisans Haven hadir dengan beberapa kolaborasi utama dengan syarikat-syarikat korporat. Melalui sokongan ini juga, ia sedikit sebanyak membantu mempromosi platform dan juga membuka lebih banyak minat dalam jualan dan belian dalam kalangan individu di Malaysia.


Berdasarkan perkongsian The Artisans Haven, antara kolaborasi yang terjalin sebelum ini termasuklah bersama-sama dengan syarikat pengeluaran Bonuslink Points untuk pembelian yang dilakukan di TAH Marketplace serta kolaborasi dengan pelbagai bank dan syarikat korporat seperti Affin Bank Berhad, CIMB Bank Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Great Eastern General Insurance (Malaysia) Berhad, Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd, PLUS Expressways Berhad dan banyak lagi.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai The Artisans Haven dan juga kempen #HandmadeisHeartmade, anda boleh melayari laman rasmi atau laman media sosial mereka. Jom beli dari para artisan hari ini!

Komen