Lina Rosli Diterbitkan 18 August 2021

Kenali Bahagian Ikan Salmon Yang Dijual Di Pasaraya

Sama seperti daging lembu, ikan salmon juga hadir dengan bahagian-bahagian yang berbeza. Pemilihan bahagian ini bergantung kepada jenis hidangan yang ingin disediakan kerana ia mempunyai nisbah lemak dan tekstur yang berlainan.

Secara umumnya, Salmon menjadi kegemaran ramai individu disebabkan oleh rasanya yang ringan dan baunya juga tidak terlalu kuat. Tambahan, penyediaan hidangan salmon juga tidak memerlukan masa yang lama.


Rata-rata hidangan akan menyajikannya sama ada secara mentah, dipanggang ataupun dimasak dengan tambahan kuah seperti kari, krim mentega dan banyak lagi.

Untuk kandungan nutriennya pula, ikan salmon kaya dengan omega 3, vitamin B, antioksidan, kalium, dan juga selenium yang memberi manfaat kepada kesihatan tulang anda.

Kenali Bahagian Atau Potongan Ikan Salmon

Bahagian atau potongan yang paling popular dalam kalangan penggemar ikan salmon adalah Top Loin.

Top Loin

Mengapa Top Loin? Ia merupakan bahagian tenderloin untuk ikan yang juga salah satu potongan yang paling premium.

Ia hadir dengan nisbah lemak-ke-daging yang tinggi dan sangat sesuai untuk semua gaya masakan terutamanya panggang, tumis, saute dan lain-lain. Oleh kerana ia mengandungi lemak yang banyak, maka apabila ia dipanggang di atas api yang panas, ia akan mengeluarkan lebih banyak jus yang menyelerakan.


Loin

Sementara loin pula, ia adalah potongan yang sesuai untuk dimakan mentah kerana ia tidak mempunyai lemak yang terlalu tinggi jika dibandingkan dengan top loin. Oleh sebab itu, bahagian ini kebiasaannya akan digunakan di dalam hidangan sushi. 

Belly

Untuk belly, ia mengandungi jumlah lemak yang tinggi. Jadi, untuk anda yang ingin mengurangkan tekanan darah, maka anda boleh amalkan pengambilan bahagian belly dalam sajian anda kerana ia hadir dengan lemak omega-3 yang baik dan membantu menurunkan trigliserida.

Second Cut

Bahagian ini sangat popular dalam kalangan masakan berkuah. Hal ini kerana, ia sesuai dimasak pada suhu tinggi atau rendah. Malah scond cut juga mempunyai bau yang lebih manis dan kaya dengan nutrien.

Bukan itu sahaja, bahagian second cut adalah yang paling serba boleh kerana nisbah lemak, kulit dan juga isi adalah sekata dan tidak terlalu nipis. Maka, tidak hairanlah mengapa kebanyakan individu lebih banyak menggunakan potongan ini di dalam masakan.

Ekor

Bahagian paling tipis berbanding fillet yang lain. Oleh it, cara masakannya juga agak kompleks. Oleh itu, bahagian ini tidak begitu sesuai jika digoreng atau dimasak terlalu lama.


Tips Membeli Salmon Di Pasaraya

Petua untuk anda mendapatkan salmon, pastikan anda mencari ikan yang kelihatan lembap dan tidak kering, kerana kandungan lembapan adalah petunjuk kesegaran yang baik.

Elakkan daripada membeli salmon dengan bintik-bintik kecoklatan di perut, di sekitar fillet atau mana-mana bahagian yang kelihatan sudah mula berkedut dan meringkuk.

Sumber: Salmon From Norway