Sudah bermacam-macam cara yang telah anda lakukan bagi memastikan rumah anda selamat dari ancaman lipas. Namun apabila anda buka di dalam kabinet atau di celap pintu, masih ada lagi lipas dan telurnya yang kelihatan selepas pembersihan.

Mengapa berlaku sedemikian? Hal ini kerana, lipas adalah serangga yang paling kuat dan mampu bertahan dalam apa serangan sekalipun. Oleh sebab itu, untuk menghapuskan lipas, anda perlu memastikan bahawa bahan kimia atau racun lipas yang disembur perlulah terkena pada saluran pernafasan mereka.


Ketahui Daya Tahan Lipas

Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi kepada anda beberapa cara tradisional yang boleh anda praktikkan di rumah untuk menghapuskan lipas. 

Namun, kali ini kita akan melihat pula apakah faktor dan sebab yang menyebabkan lipas tersenarai sebagai salah satu serangga yang tahan lasak selepas semut.

Berupaya untuk menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan

Salah satu ciri yang ada pada lipas adalah serangga ini sangat mudah menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran dan penghuninya.

Sebagai contoh, walaupun mereka dikurung atau ditangkap dan diletakkan di dalam bekas yang tiada cahaya dan makanan, lipas masih lagi boleh hidup sehingga lebih dari 15 hari.

Lipas boleh makan apa-apa sahaja

Ya, lipas tidak memilih tawaran makanan yang diberikan.

Tidak dinafikan, lipas lebih menggemari sumber makanan seperti pati atau pes, gula-gula, minyak dan produk berasaskan protein, tetapi mereka juga boleh makan makanan atau bahan lain seperti kulit perabot, gam, rambut, buku, serpihan kulit kering atau bahan organik seperti tumbuhan atau haiwan.

Menarik bukan? Apabila bekalan makanan terhad, lipas akan bertukar sifat mereka ke kanibalisme untuk mendapatkan makanan sewaktu kelaparan. Biasanya, lipas yang lebih tua dan lebih kuat akan mencari mangsa serangga yang muda dan lemah.

Tambahan lagi, lipas mempunyai deria bau dan rasa yang tinggi yang menjadikan mereka antara serangga yang paling tidak memilih sumber makanan.


Lipas mempunyai saiz tubuh yang kecil

Oleh kerana saiz tubuh lipas yang kecil, mereka dapat bersembunyi dan membuat kediaman mereka di celah-celah lubang, simen dan rekahan dinding yang kecil.

Disebabkan itu juga, antara kawasan yang paling digemari lipas adalah di bawah peti sejuk, di bawah tempat masak atau dapur gas, ruang dalam dan celah kabinet dapur dan juga di bahagian antara papan bawah dan lantai atau kabinet dan dinding.

Lipas adalah kumpulan nokturnal

Lipas menghabiskan waktu siang di tempat-tempat gelap dan terpencil dan akan mulakan operasi mencari makanan dan air pada waktu malam. Oleh itu, populasi lipas akan bertambah dengan banyak sebelum mereka mula muncul di hadapan penghuni rumah yang lain.

Lipas membiak pada kuantiti yang besar

Seperti kebanyakan serangga yang lain, lipas menghasilkan telur untuk pembiakan.

Namun apa yang menarik, telur mereka biasanya akan diletakkan di dalam kapsul yang kemudian akan dibawa atau diletakkan dengan teliti di kawasan yang gelap dan lembap.

Setiap kapsul boleh memuatkan sehingga 40 telur dan menghasilkan hingga 400 keturunan dalam satu tahun, bergantung pada spesiesnya. Bukan itu sahaja, telur lipas juga memerlukan tempoh yang pendek untuk mula mata dan menetas.


Tahukah Anda Lipas Adalah Antara Serangga Terpantas Di Dunia?

Berdasarkan kajian yang dijalankan dua saintis di University of California pada tahun 1991, mereka mendapati lapan lipas Amerika iaitu Periplaneta americana, boleh bergerak dengan pantas menggunakan kedua kaki belakang mereka.

Dalam ujian tersebut lipas Amerika ini menempuh jarak 1.5 meter bersamaan dengan 5 kaki dalam masa satu saat pada kelajuan mencapai 5.5km/ j iaitu 3.4mph.

Faktor yang menyebabkan mereka boleh bergerak pantas adalah ia berkemungkinan besar faktor hadirnya ancaman dan mereka harus segera melarikan diri. Mereka juga mungkin menggunakan sayapnya seperti peluncur jika mereka berada di tempat tinggi dan perlu turun ke tempat yang lebih rendah. Ketika itulah kita akan melihat lipas terbang.

Sumber: BBC UMN Rentokil