Bagi seorang yang menggemari pastri dan juga kek, pandemik ini telah banyak menerhadkan kunjungan ke kedai atau bakeri kegemaran penulis di Selangor. Tambahan, kebanyakan jenis bakeri tidak banyak tersenarai di dalam aplikasi GrabFood dan FoodPanda sekaligus menjadikan penawaran ini lebih sukar untuk didapatkan.


Namun, kini anda tidak perlu risau, Tourism Selangor telahpun menyenaraikan beberapa lokasi yang boleh anda kunjungi. Bahkan, bakeri di dalam senarai ini juga menawarkan perkhidmatan penghantaran ke lokasi anda untuk anda nikmati produk mereka sambil menjaga keselamatan diri dengan kekal berada di rumah.

Berikut adalah 10 lokasi bakeri di sekitar Selangor yang menawarkan pelbagai jualan kek, roti, pastri yang enak. 

Andra by Gula Cakery, Eco Ardence, Setia Alam

Sebut sahaja Gula Cakery, pastinya penggemar pastri tempatan sudah mengetahui apakah kelebihan dan keunikan bakeri ini dalam menyajikan hidangan pemanis mulut mereka.


Andra by Gula Cakery terletak di bandar kontena, Ardence Labs Setia Alam. Bakeri ini bukan sahaja menawarkan pelbagai jenis roti dan pastri yang enak, malah Andra by Gula Cakery juga menampilkan dekorasi yang menarik dan sangat sesuai untuk anda yang ingin lepak dan bersantai di dalamnya.


Selain itu juga, anda turut boleh mendapatkan beberapa makanan utama seperti spageti, bolognese, aglio olio dan lasagna.

Bagi yang berminat, Andra By Gula Cakery menyediakan perkhidmatan penghantaran di sekitar Lembah Klang setiap hari dari jam 10 pagi hingga 8 malam untuk pembungkusan, pengambilan sendiri dan penghantaran. 

Untuk membuat tempahan:

Dou Dou Bake, Petaling Jaya

Bakeri ini adalah antara lokasi kegemaran penulis yang paling kerap dikunjungi suatu ketika dahulu. Tidak dinafikan menawarkan pelbagai pastri buatan sendiri.

Dengan formula khas penapaian yang digunakan, Dou Dou Bake menawarkan pastri dan roti termasuk sourdough, croissant, croque, pain au dan banyak lagi. 


Tambahan lagi, Dou Dou Bake juga hadir dengan reka bentuk dalaman yang moden dan minimalis menjadikan suasana menikmati hidangan pastri dan kopi bertambah indah.


Jika anda ingin membuat pesanan, perkhidmatan penghantaran turut disediakan setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam. Pesanan juga harus dibuat sekurang-kurangnya 24 jam sebelum waktu penghantaran.

Untuk maklumat lanjut:

Layari: Dou Dou Bake 

Hubungi: +601169635817

Universal BakeHouse, Petaling Jaya

Universal BakeHouse ini menawarkan pelbagai jenis pastri berkualiti tinggi seperti roti sourdough serta menampilkan juga jenis pastri yang lain termasuk Gluten Free Brownies, Cream Puff, Scones dan juga minuman seperti kopi dan juga Kombucha.


Bagi yang berminat, bakeri ini terletak di Damansara Kim, Petaling Jaya. Ia menghasilkan pelbagai jenis roti dan pastri segar setiap hari dengan ragi (leaven) yang berusia 200 tahun.


Bukan itu sahaja, Universal BakeHouse juga menyediakan perkhidmatan pra-pesanan dan pengambilan sendiri. Pastikan anda membuat pesanan yang baik dengan notis 1 hari dan sebelum jam 4 petang kerana ini adalah jam terakhir sebelum pesanan dibuka untuk hari berikutnya.

Untuk maklumat lanjut:

Layari:  Universal BakeHouse

Hubungi: +601133327581

TK Bakery, Bandar Bukit Tinggi, Klang

Pada awal operasi mereka dijalankan, TK Bakery bermula dengan perniagaan kecil dim sum dan kini memiliki sebanyak 8 cawangan di sekitar Negeri Selangor termasuk di Klang, Seri Kembangan, Puchong dan lain-lain.

Antara penawaran khas bakeri ini adalah tat telur dan juga beberapa jenis pastri barat dan juga pastri oriental yang telah diinovasikan sekaligus menjadikannya unik dan wajib untuk diterokai.


Bagi yang duduk berhampiran, anda boleh membuat tempahan pastri ataupun tart bermula hari ini. TK Bakery turut menawarkan perkhidmatan penghantaran tetapi bergantung juga kepada stok yang ada.

Untuk membuat tempahan:

  • Layari: TK2YOU
  • Hubungi: +603-8959 2923

Kobo Bakery, Puchong

Kobo Bakery adalah sebuah bakeri yang menghasilkan roti menggunakan teknik yang khusus dari penasihat tukang roti terbaik dunia dari Taiwan.

Bakeri ini juga menggunakan pemeraman ragi  buatan sendiri yang semula jadi untuk semua produk roti dan pastri mereka bagi mengeluarkan rasa dan tekstur yang unik.


Kobo Bakery mempunyai cawangan di kawasan Lembah Klang termasuk Shah Alam, Taipan dan Ara Damansara. Bagi membuat tempahan, anda boleh muat turun aplikasi telefon bimbit yang dicipta khas untuk pelanggan mereka untuk membuat pemilihan dan pembelian secara atas talian.

Untuk maklumat lanjut:

Layari:  Kobo Bakery

Hubungi+60380660878

Marc Et Farid, Telok Panglima Garang 

Bonjour! Anda berminat untuk menikmati roti ala-ala di Paris? Bagi peminat pastri Paris, anda boleh cuba kunjungi bakeri yang terletak di Teluk Panglima Garang ini. Marc Et Farid hanya menggunakan bahan berkualiti untuk menghasilkan produk mereka. 

Bakeri ini juga memfokuskan kepada penghasilan pastri ala Perancis seperti kek dan tat termasuk tat lemon, tat praline coklat dan banyak lagi. Bagi yang ingin mencuba produk mereka, bolehlah membuat pesanan melalui laman atas talian Beepit yang dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 11.30pm hingga 6pm.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi +60125758048

Selaseh Dua by Cik Kiah, Gombak

Bakeri ini terletak di Gombak, Selaseh Dua yang diasaskan oleh tukang roti tempatan yang dikenali sebagai Cik Kiah.

Ia menyediakan pelbagai jenis roti dan pastri yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Selaseh Dua By Cik Kiah lebih dikenali sebagai kedai roti berbanding kafe.



Bagi yang berminat, ianya dibuka untuk pelanggan untuk pengambilan sendiri ataupun anda boleh pra-tempah roti dan pastri yang perlu dibuat 24 jam sebelum hari pengambilan dan penghantaran.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi +601112129101

Sugar and I, Subang Jaya Petaling

Sugar and I adalah kafe atau bakeri berkonsepkan Itali yang telah dibuka pada tahun 2018.



Bakeri ini terkenal dengan produk bomboloni dan juga roti donat yang berasal dari Itali. Pelbagai perisa bomboloni boleh didapati di sini seperti strawberi, Nutella dan juga perisa Lotus Biscoff. Servis penghantaran juga disediakan untuk memudahkan pembelian anda sementara anda duduk di rumah.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi +601111422597

FASO Patisserie, Setia Alam 

Mula beroperasi pada tahun 2020, FASO Patisserie merupakan bakeri yang juga menawarkan roti ala-ala Paris seperti, souffles mousses dan chocolate eclairs. 

Bakeri yang terletak di Setia Alam ini juga didekorasikan dengan konsep yang unik dan menarik untuk pelanggan nikmati hidangan pastri di kafe mereka. 



Perkhidmatan penghantaran juga disediakan untuk pelanggan mereka yang berada di sekitar kawasan Lembah Klang.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi +60194861231

Der Backmeister 

Jika anda ingin mencuba kafe atau bakeri yang berkonsepkan Jerman, maka Der Backmeister adalah pilihan yang terbaik.

Bakeri ini menawarkan pastri berasaskan bahan-bahan semula jadi sahaja, dengan diperbuat dari resipi tradisional yang khas. Rangkaian produk roti dan pastri mereka termasuk Bavarian Spelt Vanille Hörnchen, Baguette, Kirschtasche (Cherry Danish), Croissant dan macam-macam lagi.

Untuk maklumat lanjut:

Layari:  Der Backmeister

Hubungi: +60342650222


Nampak menarik bukan dengan perkongsian untuk bakeri pilihan Tourism Selangor ini? Selepas ini, anda tidak perlu risau untuk mendapatkan bekalan pastri untuk anda setiap hari.

Untuk pengetahuan anda juga, kesemua bakeri ini hadir dengan produk yang berkualiti setiap hari yang mana mereka akan memastikan penghasilan pastri dan roti berada pada paras yang maksimum. Malah, bakeri-bakeri ini juga akan memastikan kek, pastri dan roti yang dipesan selamat sampai ke tangan anda dan mampu membuat anda tersenyum sebaik menerimanya.

Jadi, apa tunggu lagi? Dapatkan kek, roti dan pastri kegemaran anda di lokasi bakeri yang berdekatan sama ada melalui pengambilan sendiri ataupun menggunakan servis penghantaran ke rumah. Untuk informasi lanjut, layari laman rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Bukan iti sahaja, anda juga boleh mengikuti perkongsian pihak Tourism Selangor di laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube untuk kekal berinspirasi! #ImagineNowExperienceSoon.