Penggunaan krim sangatlah sinonim bagi membantu melengkapkan sajian manisan seperti kek dan pastri. Hal ini kerana, ia akan menghasilkan tekstur yang sedikit manis, gebu dan lembut sebagai penambah rasa untuk sajian anda.
Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis krim di pasaran yang menawarkan hasil yang seakan sama. Sebagai contoh, sewaktu anda membeli kelengkapan untuk membuat kek, anda mendapati terdapat tiga pilihan krim yang seakan sama iaitu, krim putar (Whipping Cream), krim putar pekat (Heavy Whipping Cream) dan krim pekat (Heavy Cream).

Manakah satu yang perlu anda gunakan? Apakah yang berbeza di antara ketiga-tiga krim tersebut?
Bagi merungkai perbezaan antara krim putar, krim pekat dan krim putar pekat, Tajria hari ini akan berkongsi serba sedikit penggunaan ketiga-tiga krim ini di dalam sajian harian.
Perbezaan Antara Krim Pekat Dan Krim Putar
Krim pekat dan krim putar pekat sebenarnya adalah produk yang sama hanya dengan dua nama yang berbeza.
Menurut Pentadbiran Makanan & Dadah Amerika Syarikat (FDA), krim pekat dan krim putar pekat mesti mengandungi sekurang-kurangnya 36% lemak susu. Kedua-dua jenis krim pekat ini juga mengandungi kira-kira 50 kalori, 5g lemak, dan 3.5g lemak tepu setiap sudu.

Sementara untuk krim putar pula, ia adalah sedikit lebih ringan berbanding krim pekat yang mana mempunyai sekitar 30% hingga 35% lemak susu. Selain itu, krim putar juga hanya mengandungi 45 kalori, 4.5g lemak, dan 3g lemak tepu setiap sudu besar.
Perbezaan lemak susu 5% mungkin bukan masalah besar, tetapi secara drastik dapat mengubah tekstur dan tahap kepekatan pes, sos dan krim untuk kegunaan kek dan makanan utama.
Manakah Lebih Sedap Digunakan Untuk Pencuci Mulut?
Jawapannya bergantung kepada apa sajian yang anda inginkan.
Walaupun kedua-dua krim putar dan krim pekat boleh menghasilkan tekstur krim yang sangat halus, namun penulis mendapati krim yang diputar menggunakan krim putar adalah lebih lembut, lebih kembang dan lebih cair berbanding krim pekat.
Maka krim putar adalah lebih sesuai dihidangkan bersama pencuci mulut seperti tart, wafel, dan juga pai yang mana tidak memerlukan krim yang disajikan kekal pada bentuk pejal pada jangka waktu yang panjang.

Bukan itu sahaja, krim putar juga sesuai dihidangkan bersama aiskrim atau sebagai hiasan untuk meringue pada pavlova.
Namun untuk kek, muffin atau pastri, anda lebih sesuai menggunakan kri. pekat atau heavy cream kerana krim ini yang dibuat dengan bahan yang lebih padat dan tidak terlalu cair. Oleh sebab itu, krim pekat lebih mampu untuk bertahan di atas kek pada tempoh yang lebih panjang.
Kegunaan Krim Pekat Untuk Menu Utama
Sementara untuk tujuan memasak dan membakar, adalah lebih sedap dan sesuai jika anda mencampurkan krim pekat di dalamnya. Ia kerana penggunaan krim pekat akan memberikan rasa tebal dan berkrim pada lauk seperti kari, buttermilk dan lain-lain
Sumber: Fine Cooking