Pada April lalu, H&M atau nama panjangnya Hennes & Mauritz telah memperluaskan penawaran fesyen mereka dengan melakukan kolaborasi bersama Zalora. Melaluinya, ia dijangka akan menghasilkan potensi besar untuk pertumbuhan masa depan H&M dalam industri fesyen.
Selari dengannya, jenama di bawah H&M iaitu H&M Divided telah melancarkan koleksi baru dengan kerjasama rancangan televisyen animasi klasik Popeye untuk Koleksi Musim Panas 2021.
Ia menggabungkan kartun Popeye berserta logo ikoniknya dan juga penggunaan warna yang menyegarkan seperti warna biru muda dan ungu muda. Hasilnya, ia memberikan pengalaman pemakaian yang santai dan juga minimal untuk musim panas ini.
Apa yang menarik pada koleksi ini juga, ia membawakan rekaan baju yang seakan sama dengan cara pemakaian Popeye dan isterinya. Jika anda teliti dengan baik, anda akan melihat bahagian atas blaus hadir dengan kolar yang dipadankan sekali dengan tali leher.
Sementara untuk gaun pula, ia menampilkan gabungan blaus bercorak kotak ungu dan kemudiannya dilapiskan di atas gaun warna ungu yang mampu menampilkan ciri yang trendy dan girlish.
Koleksi ini terdiri daripada lebih daripada 30 item fesyen yang merangkumi topi, gaun, seluar pendek dan aksesori. Bagi anda yang berminat, kesemua pakaian ini boleh didapati secara eksklusif di Zalora bermula hari ini.