Carian
Tanaman Rumah Pothos – Ikuti Tips Penjagaan Pokok Ini Agar Kekal Sihat
August 23, 2021 Lina Rosli

Pothos adalah salah satu tanaman rumah yang paling digemari individu. Ia kerana pokok ini antara yang paling mudah untuk ditanam.

Nama saintifik untuk tumbuhan ini adalah Epipremnum aureum. Tumbuhan ini sering anda nampak di kebanyakan rumah dan sangat popular seperti orkid.

Meskipun ia tidak mempunyai bunga, Pothos ini mirip dengan philodendron yang hadir dalam berbagai warna dan corak dedaunan yang menarik untuk pelbagai jenis hiasan dan dekorasi.


Untuk pengetahuan anda, pokok Pothos ini mempunyai batang panjang jenis memanjat. Ia juga mempunyai akar yang tergantung di udara yang menjadikannya pilihan yang baik jika anda ingin meletakkan tanaman gantung di dalam rumah anda.

Antara kawasan yang paling kerap digunakan untuk meletakkan pokok Pothos adalah sama ada bakul gantung, rak buku di sisi meja televisyen dan juga meja konsol. 

Cara Penjagaan Pothos Sebagai Hiasan Rumah

Apa yang menarik mengenai Pothos juga, anda tidak memerlukan masa yang banyak untuk mengurusnya kerana ia hampir bebas perosak dan penyakit selain hadir dengan kadar tolerasi terhadap cahaya rendah menjadikannya pilihan yang baik untuk bilik dan pejabat yang lebih gelap.

Pokok Pothos juga harus disimpan pada suhu sekitar 16 hingga 20 darjah Celsius yang mana adalah lebih baik jika anda meletakkannya di kawasan tingkap yang tidak terkena matahari secara langsung.


Bukan itu sahaja, pokok Pothos juga lebih suka kelembapan tinggi yang serupa dengan habitat asalnya.

Dari segi penggunaan tanah pula, tanam pokok ini di dalam tanah pot yang berkualiti tinggi dan kering. Pothos lebih suka pH sedikit berasid 6.1 hingga 6.5, tetapi toleran terhadap nilai sedikit di atas atau di bawah.

Berapa Kerap Perlu Anda Siram Dan Baja?

Untuk penyiraman, anda perlu lakukan penyiraman yang memadai pada pokok iaitu sekitar 3 hingga 4 kali seminggu yang mana apabila anda mendapati tanah tidak lembap dan kering.

Anda tidak digalakkan siram secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan akar pokok Pothos menjadi reput.


Sekiranya anda mendapati terdapat lebihan air pada atas tanah, anda perlu membuang dan mengeluarkan lebihan air supaya tanaman tidak duduk di dalam air.

Untuk pembajaan pula, letakkan baja tanaman setiap 1 hingga 3 bulan agar tanaman kelihatan sihat.

Bagaimana Pokok Pothos Membiak?

Pothos mudah disebarkan melalui keratan batang. Jika hendak menanamnya di pasu yang lain, anda boleh potong batang sekitar 6-inci dan letakkan di dalam air.

Akar akan mula bercambah dan berkembang selama satu atau dua bulan. Namun, dalam pada masa yang sama, anda masih perlu menukar air setiap 2 hingga 3 minggu bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik dan lumut tumbuh.

Komen