Tahini atau turut dikenali sebagai tahina di beberapa negara, adalah salah satu bahan dalam masakan yang telah muncul sejak tahun 3500 SM. Ia banyak hadir dalam ruji masakan Mediterranean.
Selain itu, hidangan berasaskan Tahini juga banyak terdapat dalam makanan Armenia, Turki, Iraq, Siprus, Yunani, Asia Timur dan India. Di Malaysia, penggunaan Tahini tidak begitu popular kerana mungkin disebabkan oleh sumbernya yang terhad dan juga penyediaan makanan yang lebih memfokuskan kepada bahan tempatan seperti santan dan juga produk tenusu lain.

Apa itu Tahini?
Untuk pengetahuan anda, Tahini adalah pes berminyak yang diperbuat daripada kisaran sekam bijan bakar yang banyak digunakan sebagai pencicah selain merupkanan komponen utama dalam hummus, baba ghanoush, dan halva.
Jika dilihat secara kasar, Tahini kelihatan serupa seperti mentega kacang semula jadi. Malah, sekiranya dihidangkan, anda mungkin menyangka ia adalah pes kacang kerana ia mempunyai rasa yang sama seperti kacang dengan kehadiran tekstur berkrim dan pekat.
Berbanding mentega kacang juga, Tahini tidak mempunyai rasa yang manis. Ia memiliki rasa bijan yang bersahaja dan segar tetapi anda akan merasa sedikit kepahitan pada akhir rasa.

Kegunaan Tahini Dalam Masakan
Seperti yang dinyatakan tadi, Tahini menampilkan tekstur berkrim dengan rasa yang ringan selain seakan sama dengan mentega kacang. Oleh sebab itu, ia boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan sama ada hidangan utama mahupun manisan.
Sebagai contoh, anda boleh menukar resipi yang menggunakan mentega kacang seperti ke dalam adunan kek atau brownie atau campurkan ke dalam smoothie.
Anda juga boleh menambahkannya ke dalam hidangan sayur-sayuran goreng atau panggang. Malah, anda juga boleh mencampurkan Tahini bersama-sama dengan sos untuk mi, pasta dan juga salad.
Bahan Alternatif Bagi Individu Yang Alah Dengan Produk Tenusu
Bagi anda yang mempunyai alahan tenusu dan kacang, anda mungkin boleh menyediakan susu tahini dengan cara:
- Menyediakan campuran 1/4 atau 1/3 cawan tahini bersama 3 hingga 4 cawan air.
- Gaulkannya hingga sekata dan simpan di dalam peti sejuk.
- Anda boleh menggunakannya sebagai alternatif susu biasa atau susu kacang dalam latte, cappuccino, dan sebagainya.

Kelebihan Tahini Di Dalam Hidangan Makanan
Menurut pakar pemakanan, Tahini adalah bahan bebas tumbuhan yang bebas kolesterol yang menawarkan jumlah protein yang tinggi berbanding dengan bahan tenusu seperti susu, krim, dan mentega.
Malah, Tahini bertindak baik dalam menjadi pengganti tenusu yang diingini kerana sumber kalsium, magnesium dan fosforus pekat. Pengambilan Tahini yang mencukupi dikaitkan dengan kepadatan tulang yang lebih besar dan berkesan dalam mengurangkan risiko osteoporosis pada wanita pasca-menopaus.
Ia juga mengandungi beberapa kandungan serat bagi setiap hidangan dan jumlah zat besi yang memadai untuk tubuh. Oleh itu, adalah sangat sesuai jika anda ingin menggantikan produk tinggi kolestrol dan gula kepada Tahini kerana ia menampilkan sekitar 12g gula laktosa semula jadi setiap cawan.
Sumber: Spoon Eatthis Medical News Today