Snap Inc sebelum ini telahpun memperkenalkan ciri Scan yang mana ia memfokuskan kepada penawaran carian suara. Ia membantu Snapchatters menggunakan perkataan-perkataan khusus untuk menambah lensa penuras secara automatik tanpa perlu mencari lensa kegemaran mereka satu persatu. di dalam aplikasi.
Terbaru, Snap nampaknya telah hadir dengan penambahbaikan untuk ciri ini termasuk meletakkan butang untuk mengimbas di bahagian utama aplikasi iaitu di bawah butang kamera.
Bukan itu sahaja, ciri Scan ini juga telahpun dikembangkan kepada carian yang lebih khusus seperti carian dalam kategori termasuk fesyen, makanan, tumbuh-tumbuhan, kereta dan juga lagu.

Berdasarkan percubaan Tajria, ciri ini boleh dikatakan agak menarik kerana dilihat berfungsi dengan baik walaupun terdapat sesetangah imbasan yang masih tidak dapat menawarkan solusi dengan tepat.
Namun, untuk ciri imbasan yang melibatkan penyelesaian masalah matematik, ia mampu memberikan jawapan yang betul. Menarik bukan?

Selain itu, menerusi ciri ini juga pengguna juga boleh menggunakan kebolehan Shazam dalam mengenalpasti lagu yang ingin dicari. Carian ini merangkumi lagu-lagu dari Barat, K-Pop dan banyak lagi.

Harus diingatkan kepada anda, untuk menggunakan ciri Scan ini, ia memerlukan anda membuat imbasan dengan jarak yang dekat, selain menampilkan kecerahan persekitaran yang memadai dan juga membersihkan lensa kamera anda agar carian menjadi lebih mudah untuk dilakukan.
Untuk pengetahuan anda, ciri ini sudah mula dilancarkan untuk pengguna iOS di seluruh dunia terlebih dahulu. Bagi anda yang menggunakan Android, Snapchat mengatakan, ia akan dilancarkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.