Gastrik atau gastristis adalah salah satu jenis keradangan perut. Masalah gastritis ini selalunya disebabkan oleh jangkitan bakteria yang menyebabkan ulser perut.
Penggunaan ubat penghilang rasa sakit secara berkala dan minum terlalu banyak alkohol juga boleh menyumbang kepada gastritis. Gastritis boleh berlaku secara tiba-tiba sama ada acute gastritis atau muncul perlahan-lahan dari masa ke masa seperti gastritis kronik.
Jika anda mengalami keradangan yang berterusan, sistemik atau kronik, ia dilihat akan mengganggu fungsi kekebalan tubuh yang normal dan meningkatkan risiko penyakit dan gangguan termasuk penyakit jantung, diabetes, kanser dan gangguan neurodegeneratif.

Walau bagaimanapun bagi kebanyakan individu, mereka cenderung untuk mengalami gastritis tidak serius dan cepat sembuh dengan rawatan.
Oleh sebab itu, amalan pemakanan yang baik adalah penting bagi menjaga kesihatan perut dan juga tubuh kita. Hal ini kerana, untuk setiap makanan yang masuk ke perut anda, ia akan diproses dan dicerna sekaligus diserap kesemua nutriennya yang boleh digunakan tubuh.
Apakah Diet Yang Boleh Mengurangkan Risiko Keradangan Atau Gastrik?
Amalan diet anti-keradangan dapat membantu mengurangkan proses yang mendasari yang menyebabkan keradangan di dalam badan kita, yang seterusnya membantu mengurangkan risiko penyakit kronik.
Menurut kajian, Diet Mediteranian dan The Longevity Diet dianggap sebagai antara jenis diet anti-radang yang berkesan. Hal ini kerana, diet ini memerlukan individu mengutamakan makanan segar dan utuh dan mengelakkan makanan yang diproses.

Antara contoh makanan proses adalah seperti daging proses iaitu sosej, daging burger dan nuget. Malah, ia juga menyarankan individu untuk mengurangkan pengambilan kerepek, makanan panggang, aiskrim, bijirin sarapan manis dan makanan segera.
Terdapat banyak makanan yang dianggap anti-radang dan selalunya cara untuk melawan semula sifat ini adalah dengan mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan kadar yang bersesuaian.
Jenis Sayuran Dan Buah-Buahan Anti-Radang
Berikut adalah beberapa jenis sayuran dan buah-buahan yang boleh anda ambil dan sediakan di dalam hidangan harian:
- Sayuran seperti brokoli, kubis, kangkung dan bok choy
- Sayuran berdaun seperti bayam, sawi dan salad
- Lada paprika dan cili api
- Kumpulan beri seperti beri biru, beri hitam, raspberi dan tomato
- Ceri dan strawberi
- Avokado
- Buah zaitun
Selain itu, terdapat beberapa pilihan makanan lain yang mempunyai sifat anti-radang termasuk kacang, cendawan, salmon, sardin, kunyit dan juga halia. Kebanyakan makanan ini mengandungi sebatian pelindung kurkumin yang terbukti dapat mengurangkan keradangan.

Mengapa Perlu Mengamalkan Diet Anti-Radang?
Menurut kajian Jurnal Perubatan Restoratif 2019, pemilihan diet anti-radang dapat mengurangkan penanda keradangan serta mengakibatkan penurunan glukosa, lipid dan trigliserida yang biasanya sering dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular.
Kajian menunjukkan bahawa diet anti-radang dikaitkan dengan kepelbagaian bakteria usus. Oleh itu dengan pengambilan makanan anti-radang yang mencukupi, ia menawarkan juga kebaikan dan nutrien lain seperti vitamin, mineral, serat, dan sebatian bioaktif yang menyokong kesihatan termasuk meningkatkan fungsi imun dan kesihatan mental.
Sumber: mayoclinic researchgate real simple