Apabila bercerita mengenai jenama beg dan kasut Bonia, pastinya anda menyangka produk ini adalah keluaran dari jenama luar iaitu Itali. Namun, tahukah anda sebenarnya Bonia merupakan produk tempatan yang bertaraf global?

Untuk pengetahuan anda, Bonia adalah sebuah jenama mewah yang menawarkan pelbagai rangkaian beg dan kasut yang diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi.

Diusahakan oleh Bonia Corporation Berhad, jenama ini adalah pengeluar fesyen mewah yang berpusat di Malaysia yang kini mempunyai lebih daripada 883 pusat jualan dan 103 rangkaian butik di seluruh dunia termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Vietnam, Taiwan, Japan, Hong Kong, China, Indonesia, Thailand, Myanmar, Saudi Arabia dan Kuwait.

Siapakah Pengasas Bonia?

Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1974 yang memfokuskan kepada jualan barangan kulit dengan tiga kriteria penting iaitu Moden, Elegan dan Kontemporari.

Dengan kehadiran tiga kriteria ini, anda dapat melihat untuk setiap produk yang ditampilkan hadir dengan pesonanya yang tersendiri. Antara koleksi barangan kulit Bonia yang masih relevan sehingga kini adalah Koleksi Monogram yang direka khas untuk lelaki dan wanita dengan hasil seni halus yang sesuai untuk setiap gaya. Potongan khas ini dibuat dengan ciri yang unik selain dapat dikongsi dan diturunkan dari generasi ke generasi.

Di sebalik penghasilan produk yang berkualiti ini, pasti akan ada seorang individu penting yang menjadi titik tolak untuk setiap jenama. Individu penting bagi jenama Bonia adalah Sang Sem Chiang iaitu Ketua Eksekutif Bonia Corporation Berhad.

Beliau dilantik sebagai Ketua Eksekutif pada tahun 1994. Dengan adanya perancangan dan juga pelan strategi yang baik, Sang Sem Chiang berjaya membawa nama Bonia ke persada antarabangsa.

Penglibatannya dalam industri fesyen mewah sehingga kini sudah lebih dari 45 tahun. Sang Sem Chiang memiliki pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang mendalam dalam semua aspek perdagangan pakaian kulit. Beliau bertanggungjawab untuk keseluruhan pengembangan perniagaan dan mengetahui tentang trend fesyen dan perubahan teknologi yang sedang berlaku dalam industri pakaian kulit dan aksesori fesyen.

Bonia Mendapat Inspirasi Dari Jenama Itali

Jika diteliti pada bahagian logo Bonia, anda akan melihat sebuah ayat yang bertulis “The Italian Inspiration”.

Ya benar, idea yang mencetuskan jenama Bonia bermula apabila Sang Sem Chiang mendapat inspirasi dari karya seni Giambologna di Bologna, Itali. Daripada situ, beliau mulai merancang dan memborong barang-barang kulit di Singapura. Untuk pengetahuan anda, untuk barangan kulit yang dihasilkan Bonia, mereka menggunakan kulit jenis Nubuck dan juga Suede.

Apa itu kulit jenis Nubuck? Untuk barangan yang menggunakan kulit Nubuck, anda akan mendapati ia mempunyai tekstur halus dan velvety. Hal ini kerana, kulit ini mempunyai bulu halus yang memberikan tekstur yang unik berbanding kulit yang lain.

Apa itu jenis kulit Suede? Sementara kulit Suede pula adalah jenis kulit yang dibuat dari bahagian bawah kulit haiwan yang menghasilkan permukaan yang lembut. Suede biasanya dibuat dari kulit kambing biri-biri. Suede juga biasanya lebih tipis dan lebih lembut.

Bagaimana Bonia Berjaya Menjadi Jenama Antarabangsa?

Setelah beberapa tahun beroperasi secara aktif, pada tahun 1980, Bonia Corporation Sdn Bhd telah berjaya menjadi peneraju pasaran di Malaysia dan Singapura. Selepas itu, secara perlahan Bonia mula mengeksport barangan mereka ke Indonesia, Vietnam dan beberapa lagi negara Asia yang lain.

Menurut Bonia, mengikut data pelanggan mereka, ia menunjukkan jualan antarabangsa cenderung membuat pesanan yang jauh lebih besar berbanding pembeli tempatan. Maka, tidak hairanlah mengapa Bonia hadir dengan strategi ini bagi meningkatkan penjualan syarikat dan kemudian meningkatkan keuntungan dengan kadar yang lebih pantas.

Selain memperluaskan rangkaian ke negara lain, Bonia turut melancarkan laman atas-talian mereka iaitu Bonia.com pada tahun 2015 untuk akses yang lebih menyeluruh untuk pelanggan dari seluruh dunia. Melaluinya, aktiviti jual beli menjadi lebih aktif selain memberikan jenama peluang untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran baru.

Tidak berhenti di situ, Bonia seterusnya memulakan pengenalan sub-jenama lain iaitu Sembonia dan CarloRino. Kedua-dua jenama itu juga menjual produk fesyen yang seakan sama iaitu beg tangan, kasut dan juga aksesori fesyen yang lain. Namun apa yang membezakannya Bonia dan dua sub-jenama lain adalah strategi harga yang berbeza kerana mereka menyasarkan di pasaran dan pengguna yang berbeza.

Sumber: Bonia Malaysia Mall The Edge Market