Carian
IJN Memperkenalkan Sistem TricValve – Berjaya Digunakan Untuk Rawatan Injap Jantung
September 2, 2021 Lina Rosli

Institut Jantung Negara (IJN) telah menandakan satu lagi kejayaan yang luar biasa dengan menjadi hospital pertama di Asia yang berjaya melakukan rawatan inovatif untuk pesakit yang menderita masalah tricuspid regurgitation atau injap jantung yang bocor.


Sebelum ini, pesakit dengan masalah tricuspid regurgitation yang masih lagi pada fasa awal dikendalikan dengan ubat untuk melegakan gejala. Namun, sekiranya keadaan menjadi serius, mereka mungkin memerlukan pembaikan atau penggantian injap jantung.

Oleh sebab itu, IJN hadir dengan inovasi baharu, iaitu pengenalan sistem TricValve Transcatheter Bicaval Valves (Bioprosthesis). Menurut IJN, rawatan ini adalah prosedur invasif minimum yang melibatkan penggunaan injap stent kering pada sistem penghantaran pramuat.

Melalui rawatan TricValve Transcatheter Bicaval Valve, ia dapat digunakan untuk untuk rawatan refluks kaval yang terdapat dalam kes tricuspid regurgitation yang teruk, tanpa perlu menyingkirkan injap tricuspid yang gagal.

Apa Itu Tricuspid Regurgitation?

Secara umumnya, tricuspid regurgitation adalah keadaan yang mana injap di antara dua ruang jantung kanan (ventrikel kanan dan atrium kanan) tidak ditutup dengan betul. Injap yang tidak berfungsi membolehkan darah mengalir kembali ke ruang kanan atas jantung anda (atrium kanan).

Untuk kes yang lebih teruk, ia boleh mengakibatkan kegagalan jantung jika tidak mendapatkan rawatan yang sebaiknya.

Antara faktor yang menyebabkan tricuspid regurgitation adalah peningkatan ukuran ruang jantung kanan bawah (ventrikel kanan), yang boleh menyebabkan ketegangan pada kemampuan injap tricuspid untuk berfungsi.


Akibatnya, pesakit mungkin mengalami simptom seperti keletihan, degupan jantung yang tidak normal, sesak nafas dan bengkak di kaki dan perut. Walau bagaimanapun, tanda-tanda ini sering tidak berkembang sehingga keadaan menjadi lebih serius.

Untuk pengetahuan anda, Unit Kegagalan & Pemindahan Jantung dan Jabatan Kardiologi telahpun melakukan prosedur ini pada 6 Mei yang lepas. 

Adakah Semua Pesakit Tricuspid Regurgitation Boleh Mendapatkan Rawatan Sistem TriValve?

Menurut Pengarah Klinikal, Kegagalan Jantung & Pemindahan Jantung, Pakar Perunding Kardiologi, IJN iaitu Dato ‘Dr Azmee Mohd Ghazi, beliau menjelaskan bahawa terdapat keadaan yang mana tidak semua pesakit sesuai mendapatkan rawatan prosedur tertentu.

Sebagai contoh, pilihan pembedahan biasa untuk masalah injap jantung bocor adalah annuloplasty. Rawatan prosedur ini akan mengetatkan cincin di sekitar injap di jantung. Malangnya, pada pesakit dengan anulus tricuspid yang sangat teruk, mereka tidak akan sesuai untuk prosedur tersebut.

Oleh itu, untuk kes ini, sistem TricValve Transcatheter Bicaval Valves (Bioprosthesis) akan ditawarkan sebagai rawatan inovatif baru yang boleh membantu lebih banyak pesakit mengurangkan gejala mereka dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Malah dengan menggunakan sistem TricValve juga, ia dikatakan menawarkan tempoh pemulihan yang lebih cepat kepada pesakit dengan tricuspid regurgitation yang teruk tanpa gejala.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Institut Jantung Negara (IJN), anda boleh kunjungi laman rasmi IJN ataupun platfrom media sosial Facebook mereka

Komen