Rata-rata anda pastinya mengetahui akan kegunaan utama pengilat kuku adalah untuk menghias kuku selain turut digunakan untuk mengilatkan aksesori perhiasan anda.
Pengilat kuku atau lebih dikenali sebagai cat kuku adalah lakuer yang boleh digunakan pada kuku atau kuku kaki manusia untuk melindungi piring kuku. Ia hadir dalam pelbagai jenis bahan sama ada yang boleh dikupas atau ditanggalkan selepas penggunaan ataupun perlu menggunakan pembersih kuku yang tersendiri.

Namun, tahukah anda terdapat beberapa fungsi lain yang boleh dilakukan pengilat kuku? Berikut adalah 9 perkara atau kegunaan pengilat kuku yang tidak anda ketahui.
Bantu memasukkan benang ke jarum
Selain menggunakan pemetik api atau membasahkan sedikit benang sebelum mula memasukkannya ke dalam jarum, terdapat cara lain yang mungkin membantu anda melakukannya.
Caranya, letakkan sedikit pengilat kuku di hujung benang dan tunggu sehingga kering. Hal ini kerana, selepas kering pengilat kuku akan menjadi keras sekaligus dapat membantu anda memasukkan benang ke jarum dengan lebih mudah.
Alternatif kepada gam
Bukan itu sahaja, anda juga boleh menggunakan pengilat kuku jenis jernih sewaktu ingin melekatkan sama ada kertas dengan kertas, ataupun kertas dengan kain kerana ia boleh dijadikan sebagai alternatif pantas untuk gam.
Pengilat kuku mempunyai tekstur yang likat dan melekat seperti gam. Maka sebab itulah ia boleh digunakan sebagai alat bantu untuk melekatkan sesuatu bahan dengan lebih mudah.

Halang label menjadi rosak dan kotor
Sekiranya anda mempunyai label pada bekas makanan, tanaman pasu atau barang-barang rumah yang lain seperti peti surat, anda boleh menghalangnya daripada kotoran dengan menggunakan lapisan pengilat kuku jenis jernih di atasnya.
Lebih-lebih lagi jika anda menggunakan kertas biasa sebagai label, semestinya jika terkena air, tulisan atau teks akan mula mengembang. Jadi, dengan melapiskannya menggunakan pengilat kuku dapat membantu mengurangkan risiko kerosakan.
Ketatkan skru yang longgar
Selain itu, pengilat kuku juga boleg digunakkan untuk mengetatkan skru atau paku yang longgar.
Caranya, anda boleh menambah atau mengecat pengilat kuku jenis jernih diatas skru dan paku dan membiarkannya kering dan keras. Dengan menggunakan pengilat kuku juga, ia dapat memberikan kemasan skrun yang lebih baik untuk perabot anda.
Hentikan retak pada kaca
Sekiranya anda mempunyai cermin atau cawan yang retak, anda boleh menggunakan pengilat kuku untuk menghentikan retak tersebut dari tersebar dengan lebih luas pada permukaan kaca.
Ia boleh digunakan sebagai langkah keselamatan sebelum anda mula menukar atau melakukan pembaikan serta penggantian kaca yang baru. Bukan sekadar itu, pengilat kuku juga dapat melindungi permukaan kaca tepi yang tajam.

Terdapat beberapa lagi fungsi pengilat kuku yang mungkin dapat membantu menyelesaikan sesuatu masalah di rumah seperti:
- Menggunakannya sebagai bahan warna untuk lukisan
- Mencegah cincin atau barangan logam dari berkarat
- Menjadikan barang perhiasan palsu sentiasa bersih dan berkilau
- Mengelakkan tali kasut dari terurai
- Hiasan pada alat kosmetik seperti menambah corak pada berus solekan
Menarik bukan? Anda boleh mencuba menggunakan pengilat kuku anda pada kadar yang lebih maksima selain melancarkan lagi aktiviti harian di rumah anda. Selamat mencuba!