Kehadiran makanan dalam tin secara amnya bermula sejak zaman Napoleon lagi yang mana sewaktu pertempuran, kebanyakannya akan mengambil masa yang panjang dan lama selain suasana pada ketika itu sudah tentu amat sukar untuk mendapatkan makanan yang segar.

Jadinya, ramai askar-askarnya akan mencari bekalan makan sendiri. Oleh itu, pada waktu itu mereka hadir dengan cara penjagaan makanan yang tersendiri supaya ia dapat mengekalkan jangka hayat makanan supaya tidak terjejas akibat disimpan untuk tempoh yang lama. Salah satu daripadanya adalah makanan dalam tin.


Apabila bercerita mengenai makanan dalam tin, ia sebenarnya adalah makanan yang telah diproses dan melalui teknik pengawetan makanan yang biasanya melibatkan pemanasan makanan di dalam bekas. Melaluinya, ia akan membunuh bakteria dengan menghasilkan kesan vakum yang akan menghilangkan oksigen dari bekas.

Di Malaysia, anda boleh menjumpai pelbagai jenis makanan dalam tin yang merangkumi makanan protein seperti ayam, daging dan ikan ataupun makanan yang melibatkan buah-buahan atau sayur-sayuran yang diawet.

Antara jenama yang popular dalam mengeluarkan makanan dalam tin adalah Ayam Brand. Tahukah anda bahawa jenama ini sudahpun mencapai umur lebih 100 tahun sejak ia pertama kali diperkenalkan?

Di Sebalik Penubuhan Ayam Brand

Idea awal penubuhan Ayam Brand bermula apabila pengasasnya iaitu Alfred Clouet bercadang untuk mengembangkan perniagaannya kepada penghasilan makanan dengan rasa eksotik seperti rempah, kari, lada, santan dan beberapa yang lain. 

Daripada idea tersebut, beliau menubuhkan perniagaan makanan pada tahun 1892 di Singapura yang mana pada waktu itu negara tersebut merupakan sebahagian dari Tanah Melayu.


Alfred Clouet merupakan seorang pengembara dari Perancis yang datang ke Singapura pada tahun 1890. Tujuannya tiba ke negara berkenaan untuk menaklukkan rasa baru di Asia.

Sebelum menubuhkan Ayam Brand, Alfred Clouet melaksanakan syarikat eksport-importnya sendiri, A. Clouet & Co. Dia memulakan dengan mengimport coklat Menier, anggur Bordeaux dan juga minyak wangi ke Asia.

Selepas beliau sering berurusan dengan makanan import dan bahan binaan untuk masyarakat asing, beliau membuat keputusan untuk menumpukan perhatian kepada penawaran sardin dalam tin.

Perkembangan Jenama Ayam Brand

Tidak dinafikan jenama ini telah lama bertapak di Asia dan salah satu jenama pengguna tertua di Asia. Produk ikoniknya adalah sardin yang diproses dan diletakkan di dalam sos tomato.

Menurut A. Clouet, situasi pada awal pengenalannya adalah amat sukar kerana sebagai barang import, penggunaan tin pada ketika itu adalah mahal selain tidak pernah dijual dalam kalangan masyarakat tempatan.

Jadinya, untuk menembusi pasaran tempatan A. Clouet perlu menjadikan produk di dalam tin lebih mudaj untuk diakses oleh semua orang. Caranya, beliau memilih sardin sebagai produk pertamanya.


Mengapa Sardin?

Pemilihan sardin sebagai produknya adalah disebabkan pada ketika itu, ikan adalah salah satu makanan yang popular pada musim puncak selain harga pasarannya akan meningkat jika bukan dalam musim puncak.

Pemerhatian ini menyebabkan A. Clouet mempercayai jika beliau berjaya mengawet sardin dan menjual pada masyarakat tempatan, pasti produknya akan mendapat sambutan yang memberangsangkan di samping membolehkan semua orang menyimpan stok makanan tersebut dalam tempoh yang lama.

Penggunaan Nama Yang Dekat Dengan Orang Tempatan

Pengeluaran produk sardin dalam tin mula diperluaskan pada tahun 1899. Selain itu, antara usaha lain yang digunakan untuk menarik perhatian orang tempatan anda dengan menampilkan identiti yang dekat dengan masyarakat tempatan.

Oleh sebab itu, A. Clouet memilih ayam jantan tegak sebagai lambang kepada jenamanya. Walau bagaimanapun, beliau masih lagi mengekalkan identiti Perancis dengan meletakkan simbol Perancis untuk keunggulan.

Selepas penghasilan logo, jenama itu mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan. Mereka mula menyebut jenama Cock Brand sebagai Ayam Brand dalam bahasa Melayu.


Apabila merasakan nama tersebut lebih sinonim untuk pasaran Asia, pihak pengurusan memutuskan untuk menukar nama rasmi syarikat menjadi Ayam Brand.

Untuk pengetahuan anda, pengeluaran setiap tahun untuk produk di bawah jenama Ayam Brand adalah melebihi 60 juta tin. Selepas perkembangan produk utamanya iaitu sardin, Ayam Brand kini memfokuskan kepada  bahan-bahan Asia lain termasuk santan, sos pasta, buah dan sayur.

Menjelang sekitar tahun 1900-an, Syarikat A. Clouet dibeli oleh syarikat Denis Frères. Ayam Brand kini dipasarkan di lebih daripada 30 negara di seluruh dunia termasuk Australia, Perancis, UK dan New Zealand.

Sumber: Ayam Brand (1) Ayam Brand (2) NST