Tidak dinafikan, kaftan adalah salah satu pakaian yang sangat sinonim dengan wanita pada masa kini. Lebih-lebih lagi apabila tiba pada musim perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, pastinya busana ini menjadi salah satu pilihan penggayaan yang popular.

Namun, tahukah anda di sebalik identitinya yang terkenal, dari manakah asalnya Kaftan sebelum ia menjadi popular dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara?

Asal Usul Kaftan Sebenarnya Digunakan Oleh Kaum Lelaki?

Untuk pengetahuan anda, Kaftan atau turut dieja sebagai Caftan merupakan pakaian yang digunakan oleh kaum lelaki pada zaman Mesopotamia Purba.

Nama kaftan berasal dari perkataan Parsi yang bermaksud kot pakaian yang panjang. Ia digambarkan sebagai jubah separas betis atau di bawah lutut selain turut terbuka di bahagian depan dan lengannya sedikit dipotong di pergelangan tangan.


Penggunaan kaftan sebagai pakaian dilihat mula meluas sejak zaman Sultan Uthmaniyyah dari abad ke-14 hingga ke-18 yang mana kaun lelaki pada ketika itu akan memakai kaftan yang dihiasi dengan aksesori mewah.

Ada juga yang menyatakan bahawa kaftan hadir dalam pelbagai rekaan yang mana boleh dipakai oleh lelaki dan wanita yang duduk di dataran tinggi dan beriklim panas seperti Iran, Afrika Utara dan Afrika Barat. Jadi, dengan pemakaian siluet longgar kaftan, ia dilihat dapat membantu pengudaraan dan menurunkan suhu badan di kala cuaca panas.


Rekaan Dan Penghasilan Kaftan

Kaftan biasanya mempunyai rekaan yang hampir sama dengan jubah, namun yang membezakannya adalah ia hadir lengan penuh dan kembang selain mempunyai reka bentuk leher yang terbuka luas.

Baju Kaftan dihasilkan menggunakan fabrik seperti kapas atau sutera. Kaftan yang dijahit menggunakan fabrik berkualiti tinggi biasanya akan ditawarkan sebagai hadiah kepada tokoh dan individu penting sebagai tanda penghargaan.

Terdapat beberapa jenis kaftan yang popular termasuk Kaftan Turki, Kaftan Algeria dan Kaftan Moroccan. Yang membezakan ketiga-tiga kaftan ini adalah:

  • Kaftan Turki diperbuat daripada kapas lembut dan menampilkan cetakan tropikal pada bahagian di depan dan belakang pakaian.
  • Kaftan Algeria pula diperbuat daripada kain brokat berkualiti, selain turut dilengkapi dengan sulaman dan benang emas yang menentukan pangkat atau darjat si pemakai.
  • Kaftan Moroccan adalah jenis kaftan yang banyak kita lihat pada masa kini yang mana ia adalah pakaian satu helai yang sesuai digayakan untuk aktiviti santai.

Bilakah Trend Kaftan Ini Mula Meluas Ke Seluruh Dunia?

Jika dilihat akan perkembangan busana ini dalam industri fesyen, salah satu faktor yang menjadukan Kaftan ini popular adalah disebabkan rekaannya yang eksotik dan unik sekaligus menjadikannya boleh diterima pakai oleh masyarakat dari pelbagai negara.


Di Eropah dan Amerika Utara, kaftan dan juga busana gaya Turki ini mula berkembang pada abad ke-19. Menjelang tahun 1950-an dan awal 1960-an, gaya pakaian ini mulai muncul dengan identiti baru yang dikemaskini menjadi lebih oriental moden oleh beberapa jenama mewa iaitu Christian Dior dan Balenciaga.

Kedua-dua jenama ini menjadikan elemen Kaftan ini sebagai satu pakaian yang baharu iaitu gaun malam yang longgar untuk penggunaan para wanita. Tidak seperti kaftan yang digunakan oleh kaum lelaki di Timur Tengah, gaun malam ini dilihat tampak lebih feminin dan lebih bergaya.


Mengambil ciri utama Kaftan iaitu lengan penuh dan leher lebar, gaun Kaftan ini mula diterima oleh lebih ramai lapisan masyarakat. Ada yang menggunakannya bersama-sama dengan seluar dan juga yang menampilkan elemen tambahan seperti selendang dan sebagainya.

Perbezaan Kaftan Terengganu Di Malaysia

Setakat ini tidak ada sejarah penceritaan bermulanya pengenalan kaftan atau baju kelawar yang sering dijumpai di negeri-negeri pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan.

Namun, pengenalan dan penghasilan batik mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi penawaran kaftan di Malaysia. Seperti yang anda sedia maklum, batik digunakan untuk membuat baju, kain sarung atau batik lepas.


Jadinya, tidak hairanlah mengapa penghasilan kaftan yang tersendiri boleh muncul di Malaysia. Dipadankan dengan corak dan rekaan yang unik batik pada busana tersebut, ia sekaligus menjadi antara pakaian yang digemari masyarakat tempatan dan juga pelancong-pelancong asing. Ia sering dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Sumber: Vogue Ashro Tempahan Prison Gov