Kurang 4 bulan berbaki sehingga kita memasuki tahun 2022, tetapi masih belum terlambat untuk anda mencuba hobi baharu yang mampu mengasah bakat terpendam anda.

Untuk kali ini, Tourism Selangor akan berkongsi lokasi menarik yang boleh anda terokai di sekitar Selangor untuk mencuba hobi baharu yang penuh keunikan tersendiri termasuk mengasah bakat seni dan juga kraftangan anda.

Melalui tempat ini, ia menjadikan Selangor salah satu negeri tarikan pelancong bagi melaksanakan hobi dan aktiviti keseniaan bersama keluarga dan rakan. Jadi, ini adalah 7 pusat seni yang boleh anda kunjungi di Selangor pada suatu masa kelak.

Sewing World Gallery, Subang Jaya

Galeri menjahit Sewing World terletak di One City, Subang Jaya.

Ia menawarkan pelbagai hasil seni yang boleh dibeli melalui laman rasmi Sewing World Gallery. Bukan itu sahaja, galeri ini turut mengendalikan banyak bengkel menjahit sejak mereka mula beroperasi untuk memastikan tradisi dan seni menjahit ini diturunkan ke generasi baharu.

Serba ringkas mengenai Sewing World Gallery, ianya telah mula ditubuhkan sejak tahun 1989. Galeri ini turut memperkenalkan “Tunku Azizah Handmade Market”  pada tahun 2010 yang mana ia adalah inisiatif untuk memberi peluang pelajar galeri tersebut menjual hasil seni jahitan mereka.

Untuk maklumat lanjut:


The Artsy Craftsy, Shah Alam

The Artsy and Craftsy adalah sebuah organisasi seni yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Bagi anda yang ingin menyertai bengkel seni dan kraf, anda boleh mendaftar sesi di laman rasmi The Artsy Craftsy. Walau bagaimanapun, untuk setiap sesi, ia mempunyai had pendaftaran maksimum 20 orang dan juga tertakluk pada ketersediaan bahan.

Antara seni dan kraf yang boleh dipelajari termasuk mengecat kanvas dan tote-bag, binaan tanah liat kering, seni lukisan coretan (doodle)  dan banyak lagi. Organisasi ini mengendalikan bengkel mereka di studio yang dihias dengan suasana tenang dan selesa bagi mengekalkan inspirasi buat pengkarya.

Untuk maklumat lanjut:


Clay Expression, Subang Jaya

Clay Expression adalah sebuah galeri atau pusat seni yang menawarkan bengkel seni tanah liat. Mereka mengendalikan bengkel-bengkel penghasilan tembikar yang boleh membantu mengasah kreativiti anda.

Selain daripada mengendalikan bengkel, pusat seni ini juga menawarkan kelas-kelas untuk seni tanah liat yang terdiri daripada kelas untuk pelajar baharu (beginner), sedia-ada (intermediate) dan mahir (advanced).

Clay Expression terletak di Subang Jaya ini juga ada menawarkan bengkel secara peribadi berkumpulan dengan kapasiti minimum 6 peserta dalam sesi 1 jam bagi anda yang memerlukan sesi pembelajaran yang lebih lanjut.

Untuk maklumat lanjut:


Sew Fabby, Shah Alam

Sew Fabby telah menganjurkan bengkel pertama pada tahun 2012 bertempat di Art 2 Publika.

Kini, pusat seni ini aktif dalam menjual hasil-hasil jahitan termasuk patung plushie, tuala bersulam, bekas pensil bersulam, keychain yang dihasilkan dengan idea sendiri dan macam-macam lagi.

Diasaskan oleh Puan Azzah sejak tahun 2008, Sew Fabby telah hadir dengan pelbagai seni dan kraf yang boleh anda pelajari bersama-sama.

Untuk maklumat lanjut:

  • Hubungi: +6016 395 9386

Fabu Cafe, Subang

Fabu Cafe yang terletak di Bandar Sunway adalah terdiri daripada komuniti peminat teknologi dan juga kraf yang mempunyai minat dalam berkarya.

Jadinya, bagi anda yang ingin menerokai kehebatan seni anda, Fabu Cafe menyediakan ruang komuniti dan pelbagai alat fabrikasi digital seperti laser, pencetak 3-dimensi dan mesin sulaman digital yang boleh digunakan pengguna.

Selaras dengan namanya, Fabu Cafe juga menarik perhatian pelanggan dengan menawarkan menu lempeng bercetak di mana lempeng dihasilkan mengikut bentuk dan hasil seni pelanggan.

Bukan itu sahaja, Fabu Cafe turut menawarkan khidmat bengkel untuk memupuk semangat senibina dan kesenian dalam kalangan pelajar.

Untuk maklumat lanjut:


Laman Kraf Tani, Kuala Langat

Berbeza dengan pusat seni yang dinyatakan di atas, Laman Kraf Tani memfokuskan kepada seni bunga-bungaan.

Dipelopori oleh Puan Esiah, Laman Kraf Tani telah menghasilkan seni bunga tekap sejak tahun 1999 dan telah berjaya menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Penggunaan bunga dalam hasil seni Puan Esiah semuanya ditanam di rumah kampungnya yang penuh dengan bunga hijau yang subur dan pokok buah-buahan.

Para pengunjung boleh singgah ke Laman Kraf Tani ini yang terletak di  Kampung Sungai Lang Tengah, Kuala Langat dan mempelajari beberapa teknik untuk menghasilkan seni bunga tekap yang menarik. 

Untuk maklumat lanjut:

  • Hubungi: +603 3181 7052

Ramadas Pottery, Kuala Selangor

Ramadas Pottery mula aktif dalam industri ini pada tahun 1976. Menurut Tuan Ramadas, pusat seni ini berjaya memperoleh anugerah Adiguru Kraf Tembikar pada tahun 2012 kerana kemahiran dan pencapaian beliau dalam seni kraf tembikar.

Produk-produk tembikar dari Tuan Ramadas Pottery termasuk  periuk, pembakar kemenyan, periuk tanah liat, hiasan untuk rumah dan macam-macam lagi.

Anda boleh lawati Ramadas Pottery untuk belajar cara membentuk tembikar menggunakan tanah liat asli menggunakan tangan dan mesin khusus untuk pembentukan tembikar.

Untuk maklumat lanjut:

  • Hubungi: +6012 6671 373

Untuk pengetahuan anda juga, kesemua galeri dan pusat seni hadir dengan kelas dan bengkel mereka yang tersendiri. Melaluinya, anda boleh mengasah bakat dan kemahiran seni anda selain memberikan suasana yang tenang dan santai sewaktu menjalani kelas.

Jadi, apa tunggu lagi? Sertai kelas seni kegemaran anda di 7 lokasi pusat seni di Selangor yang berdekatan anda dengan mula menghubungi mereka bermula hari ini. Untuk informasi lanjut, layari laman rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengikuti perkongsian pihak Tourism Selangor di laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube untuk kekal berinspirasi! #ImagineNowExperienceSoon.