Pada asasnya, badan anda sememangnya memerlukan sedikit gula. Hal ini kerana, gula penting untuk kehidupan dan pembaikan selular. Oleh itu, sekiranya anda menghindari pengambilan gula, maka badan anda tidak mendapat tenaga yang diperlukan melalui gula.
Untuk pengetahuan anda, hampir kesemua karbohidrat terurai di dalam badan kita akan ditukar menjadi gula. Ini termasuk pati biji-bijian, kekacang, kentang, nasi, sayur-sayuran, buah dan tenusu.
Malah, sebilangan besar makanan ini mengandungi gula semula jadi yang dikatakan bermanfaat untuk badan kerana ia mempunyai semua nutrien lain yang diperlukan.
Oleh sebab itu, jika anda sudahpun mengambil gula semulajadi di dalam makanan seperti buha-buahan, gandum dan sebagainya, maka anda perlu mengurangkan pengambilan gula tambahan yang lain yang biasanya terkandung di dalam minuman seperti gula putih dan lain-lain.

Berapa Banyak Gula Sebelum Dikategorikan Sebagai Pengambilan Yang Berlebihan?
Garis panduan pemakanan bagi orang Amerika mengesyorkan bahawa pengambilan gula tambahan adalah tidak melebihi daripada 10 peratus kalori harian.
Menurut, Persatuan Jantung Amerika pula mengatakan individu yang mengambil gula tambahan disarankan mengambil gula tidak lebih dari 100 kalori sehari atau kira-kira 6 sudu teh gula bagi perempuan dan 9 sudu teh gula bagi kaum lelaki.
Walau bagaimanapun, sudah tentu perkara ini sangat bergantung pada gaya hidup anda. Sekiranya anda menjalankan latihan fizikal atau bekerja keras menggunakan otot dan tenaga seperti berlari dan bersenam, maka anda mungkin memerlukan lebih banyak karbohidrat berbanding individu yang hanya duduk dan berada di ruang sejuk ketika bekerja.
Oleh itu, ia adalah sangat penting untuk mengawasi pengambilan gula anda untuk kesihatan sepanjang hayat, tetapi diet tanpa gula bukanlah pilihan yang baik untuk kebanyakan individu.
Tidak dinafikan, tubuh kita memang memerlukan gula yang pada akdar bersesuaian kerana apabila anda tidak mendapat makanan tersebut, anda akan berasa lesu dan letih.
Untuk hidangan manis, cubalah membuat pilihan yang lebih sihat seperti buah dan juga makanan atau minuman lain yang menggunakan gula semula jadi seperti madu, kurma, sirap maple, kelapa atau kayu manis.
Sumber: Real Simple WebMD