Carian
shopMYairports Bantu Rakan Runcit Jana Pendapatan – Turut Menyasarkan Penawaran Produk Dari PKS
September 7, 2021 Lina Rosli

Pada September 2020, Malaysia Airports telahpun memperkenalkan sebuah laman jualan atas-talian yang menawarkan pelbagai produk dari kedai dan vendor mereka menerusi shopMYairports.

Bagi yang tidak mengetahui, shopMYairports adalah platform edagang pelancongan-runcit pertama di Malaysia. Ia merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Malaysia Airport bagi memperluas pasaran rakan runcit mereka selain memberi peluang untuk orang luar mendapat gambaran barangan yang terdapat di lapangan terbang di Malaysia sewaktu melancong.


Kelebihan shopMYairports Kepada Rakan Runcit Dan Pengunjung

Sejak ia dilancarkan, shopMYairports telah mencapai pertumbuhan jualan tambahan sekitar 50% dari bulan ke bulan dan kini telah mencapai lebih dua juta kunjungan di laman berkenaan.

Menurut Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports, Puan Hani Ezra, pengenalan shopMYairport dilihat dapat membantu para rakan runcit di bawah mereka menjana pendapatan tambahan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan baru lebih-lebih lagi sewaktu musim Covid-19 ini.


Menerusi shopMYairports juga, para rakan runcit boleh menikmati pakej khas yang ditawarkan apabila menawarkan produk mereka di laman berkenaan. Malah, sekiranya pintu pelancongan mula dibuka, pelancong luar yang ingin membeli barangan Malaysia boleh terus mengakses shopMYairports dan melakukan pra-tempahan sebelum tiba di Malaysia.

Bagi anda yang di Malaysia pula, shopMYairports menawarkan perkhidmatan penghantaran untuk sebarang pembelian di laman berkenaan. Menerusi percubaan Tajria, setakat ini tiada sebarang caj penghantaran yang dikenakan untuk pembelian di shopMYairports.

Penambahbaikan Perkhidmatan Di Malaysia Airports

Bergerak ke hadapan juga, Malaysia Airports menjangkakan akan menambah baik perkhidmatan mereka melalui penawaran ruang rehat yang lebih kondusif kepada para pengunjung. Malah, ia juga akan menampilkan rakan runcit baharu termasuk Serai Group, Jamie’s Oliver Diner, Jamie’s Deli dan juga Hard Rock Cafe.


Malah, bagi peniaga kecil dan sederhana turut boleh mula menyertai jualan produk Malaysia di lima lapangan terbang antarabangsa Malaysia. Hal ini kerana, tanpa perlu mengeluarkan bajet untuk sewa, para peniaga boleh mempromosikan produk mereka di dalam kedai khas yang dikelolakan oleh Malaysia Airports.

Penawaran ini dijangka akan dibuka secara berperingkat bermula di Lapangan Terbang Langkawi terlebih dahulu.


Kempen Sempena Ulang Tahun shopMYairports Yang Pertama

Bersempena ulang tahun shopMYairports yang pertama, kempen Are You The Goldenaire telah dilancarkan oleh Malaysia Airports yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan shopMYairports sebagai platform pelancongan-runcit premium di Malaysia.


Kempen ini memberi peluang kepada pembeli untuk memenangi hadiah utama iaitu bar emas 200g yang menampilkan dengan corak khusus Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) diatasnya selain turut membawakan hadiah bulanan wafer emas 2.5g bernilai sehingga RM100,000.

Bagi yang berminat, pembeli boleh mengambil bahagian dari September 2021 hingga 28 Februari 2022 dengan membeli voucher membeli-belah Goldenaire bernilai RM10 dan menebusnya di platform edagang shopMYairports untuk terus menang.

Komen