Seperti yang anda sedia maklum, kini kebanyakan kedai makan dan restoran sudah dibenarkan untuk menerima pelanggan untuk aktiviti makan di kedai khusus untuk individu yang sudah lengkap 2 dos vaksinasi.

Apabila kelonggaran telah diberikan, maka pelbagai langkah keselamatan kendiri perlu diamalkan bagi terus membendung penularan dalam kalangan masyarakat setempat.


Perkara pertama yang penting untuk anda ikuti ketika kembali ke tempat awam adalah mematuhi dan mengikuti setiap garis panduan keselamatan yang diarahkan oleh pihak berkuasa dan pengurusan kedai.

Di sini, Tajria telah menggariskan beberapa langkah berjaga-jaga yang harus diikuti menurut pakar perubatan.

Menilai Risiko Keselamatan Di Kawasan Awam

Sebelum anda memasuki mana-mana tempat makan, anda dinasihatkan untuk mengetahui apa risiko yang bakal anda hadapi. Semakin lama anda berada di luar, semakin tinggi risiko penyebaran Covid-19 berlaku.

Berikut adalah empat tahap risiko berdasarkan jenis restoran, seperti yang digariskan oleh CDC:

  • Risiko Paling Rendah: Perkhidmatan makanan pandu lalu, ambil-sendiri dan penghantaran terus ke rumah.
  • Risiko Sederhana: Tempat makan di lokasi terhad untuk tempat duduk di luar.
  • Risiko Tinggi: Tempat makan yang menyediakan tempat duduk di bahagian dalam dan luar kedai.
  • Risiko Paling Tinggi: Tempat makan yang menawarkan tempat duduk di dalam dan luar kedai tanpa meletakkan jarak antara meja sekurang-kurangnya dua meter.

Sentiasa Mengamalkan Pemakaian Pelitup Muka

Anda mesti selalu memakai pelitup muka anda sewaktu makan di luar. Walaupun meja diatur dengan betul untuk jarak fizikal dan namun, anda masih tidak boleh menanggalkan pelitup muka lebih-lebih lagi jika berada di dalam ruang tertutup.

Bukan itu sahaja, pastikan juga anda memakai pelitup muka berganda bagi tujuan keselamatan. Sewaktu makan, pastikan anda melipat dan menyimpan pelitup muka dengan betul dan kemudiannya memakainya semula selepas selesai makan.

Pastikan anda tidak meletakkan dan membiarkan pelitup muka di atas meja atau di mana sahaja kawasan yang berisiko untuk mengalami pencemaran silang.


Harus diingatkan juga untuk tidak menyentuh wajah anda sebanyak mungkin semasa memakainya dan menanggalkannya.

Selain diri sendiri, anda juga perlu perhatikan agar semua pekerja restoran memakai penutup muka kain setiap masa, terutama pada waktu berinteraksi dan menyediakan makanan.

Bersiap Sedia Dengan Kit Pensanitasi

Jarak fizikal dan mencuci tangan adalah langkah pencegahan terbaik untuk penularan virus jika berada di luar, lebih-lebih lagi restoran yang menghidangkan makanan secara bufet.


Anda harus membersihkan sudu dan kutleri lain sewaktu mula menggunakannya. Malah, menu juga adalah salah satu item yang plaing kerap dipegang orang ramai, jadi anda dinasihatkan untuk selalu mencuci tangan setelah menyentuh mana-mana menu ketika mengunjungi restoran.

Kemudian, bersihkan juga kad kredit dan kad debit anda sebelum dan selepas membuat pembayaran.

Sekiranya anda menggunakan wang tunai, berhati-hati dan perlu segera untuk mencuci tangan atau menggunakan gel sanitasi tangan anda setelah mengendalikannya.