Berdasarkan Laporan More Than Skin Deep: Atopic Dermatitis in Malaysia, ia menunjukkan bahawa masalah keradangan kulit kronik adalah antara salah satu penyakit yang sering disalahfahami.
Menurut laporan juga, masalah dermatitis atopik ini mempunyai tahap kesedaran yang rendah yang banyak mengakibatkan kesan yang buruk kepada pesakit. Hal ini kerana, ramai yang sering memandang remeh akan kesihatan kulit mereka selain turut mendapatkan diagnosis yang lewat sebelum ia menjadi lebih teruk.
Oleh itu, bersempena Hari Dermatitis Atopik Sedunia yang disambut pada 14 September akan datang, Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM) dengan kerjasama artis komik pemenang anugerah Erica Eng dan Persatuan Ekzema Malaysia telahpun hadir dengan beberapa kempen khusus.
Apa itu Dermatitis Atopik?
Dermatitis atopik merupakan salah satu jenis dermatitis (eksim) yang terjadi pada individu disebabkan oleh keradangan pada kulit. Keadaan ini biasanya akan menampilkan gejala seperti kulit menjadi memerah, kering dan pecah-pecah.
Dermatitis atopik juga menyebabkan kegatalan melampau yang dilihat akan membuatkan pesakit tidak boleh tidur nyenyak. Manakala pada mereka yang mengalami masalah kulit merekah pada tangan dan kaki, ia akan menjadi sukar untuk mereka melakukan rutin harian yang asas seperti sabun dan cuci muka dan tangan.
Bukan itu sahaja, dermatitis atopik biasanya berlangsung pada tempoh yang lama bahkan hingga bertahun-tahun.
Pelancaran Kempen #UncoverLife
Menerusi kempen #UncoverLife – Dermatitis Atopik, Bukan Sekadar Masalah Kulit, ia membantu meningkatkan kesedaran pesakit dan masyarakat kerana kesalahfahaman boleh menghalang individu dari mendapatkan nasihat dan rawatan perubatan.
Bukan itu sahaja, kempen ini juga menghimpunkan beberapa fakta yang salah mengenai dermatitis atopik dan menjelaskan liku-liku yang dilalui pesakit yang menghidapi masalah ini.
Selain daripada perkongsian mengenai mitos dermatitis atopik, kempen ini turut hadir dengan perkongsian siri komik web dari Erica Eng. Ia menampiljan visual yang lebih mudah difahami mengenai dermatitis atopik yang diceritakan dari perspektif pesakit. Antara cerita yang dipaparkan dalam siri komik ini termasuk mengungkap dugaan, kesengsaraan dan kejayaan yang dialami oleh Shomendra, Elaine dan Iris dalam menangani cabaran fizikal, emosi dan sosial dalam menguruskan dermatitis atopik.
Bagi anda yang ingin membaca siri komik web Dermatitis Atopik oleh Erica Eng ini, ia boleh didapati di laman mikrosit #UncoverLife.
Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai dermatitis atopik, anda juga boleh kunjungi ke halaman Facebook rasmi Persatuan Ekzema Malaysia atau layari laman web Dermatologi bermula hari ini.