Baru-baru ini, di dalam sebuah acara maya yang dianjurkan oleh Pfizer, mereka telah memperkenalkan sebuah jenis antibiotik gabungan baharu yang dikenali sebagai Zavicefta.
Zavicefta dihasilkan bagi merawat jangkitan bakteria Gram-negatif yang serius dan memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital. Antibiotik ini terdiri daripada gabungan ceftazidime, sejenis cephalosporin antipseudomonal generasi ketiga dan avibactam, sejenis perencat beta-lactamase.
Apakah Kegunaan Zavicefta?
Di Malaysia, Zavicefta telah diluluskan bagi rawatan pesakit dewasa berusia 18 tahun dan ke atas yang mengalami jangkitan intra-abdomen rumit (cIAI), dengan gabungan metronidazole, jangkitan saluran kencing rumit (cUTI) termasuk pyelonephritis, serta jangkitan pneumonia di hospital (HAP), termasuk pneumonia yang berkait dengan penggunaan ventilator (VAP).
Menurut Pakar Perunding Penyakit Berjangkit dan Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit KKM, Dato’ Dr Mahiran Mustafa, rintangan antimikrob adalah salah satu ancaman terbesar bagi kesihatan dunia yang mana ia dilihat telah memberikan impak terhadap keupayaan kita dalam merawat jangkitan serius dan menjalankan prosedur perubatan lazim.
Bukan itu sahaja, untuk menangani ancaman bakteria ini juga, ia memerlukan kos dan teknologi perubatan yang tinggi. Setakat ini, Zavicefta mempunyai profil keselamatan dan keberkesanan yang tinggi.
Mengapa Perlunya Antibiotik Zavicefta Bagi Merawat Jangkitan Bakteria?
Melalui penyelidikan, adalah penting untuk individu yang dijangkiti antimikrob mendapatkan terapi antibiotik awal yang mencukupi.
Kegagalan untuk memberikan rawatan awal dan bersesuaian telah menjejaskan sektor kesihatan negara sama ada dari segi kadar penularan dan juga kos pengendalian. Oleh itu, dengan pengenalan Zavicefta, ia boleh dijadikan alternatif dan sokongan rawatan awal yang boleh mengurangkan risiko epidemiologi tempatan.
Bukan itu sahaja, menurut pakar penyakit berjangkit Dr Asok Kurup, bakteria Gram-negatif dilihat mempunyai daya tahan yang kuat walaupun langkah awal telah diambil menerusi penggunaan antibiotik lazim dan juga antibiotik dengan spektrum yang lebih meluas seperti Carbapenem.
Komitmen Pfizer dalam menangani rintangan antimikrob
Pfizer mengambil pendekatan pelbagai serampang untuk menangani penularan antimikrob, termasuk membangunkan vaksin yang membantu mencegah jangkitan dan mengurangkan penggunaan antibiotik yang mungkin mengakibatkan kemunculan strain rintang.
Pada masa sama, Pfizer juga membangunkan antiinfektif secara aktif dan bekerjasama dengan rakan-rakan industri bagi merapatkan jurang pencegahan dan rawatan penyakit berjangkit yang kritikal di seluruh dunia.
Pfize juga menawarkan program pemantauan AMR terbesar dan paling mudah diakses di seluruh dunia yang dinamakan pangkalan data Kepimpinan Pengujian dan Pemantauan Antimikrob (ATLAS).
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai pengawasan antimikroba Pfizer dan usaha memperbaiki penawarkan antibiotik, anda boleh layari laman rasmi Pfizer bermula hari ini.